Ustaz Wadi calon rakyat Nenggiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri daripada PERIKATAN NASIONAL (PN), Ustaz Mohd Rizwadi Ismail kali ini tidak syak lagi sangat dekat dengan masyarakat Nenggiri.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, Mohd Rizwadi yang mesra dengan panggilan Ustaz Wadi balik ke kampung dan bertugas sebagai pegawai agama di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) setelah bersara sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 12 tahun.

“Walaupun bekerjaya, Wadi tetap aktif melibatkan diri dengan parti dan masyarakat. Tidak cukup dengan itu, calon ini juga gigih menimba ilmu agama dengan menyertai pengajian pondok.

“Kata rakyat di Nenggiri, Ustaz Wadi ini ‘buleh ppegi maghi’ dengan rakyat Nenggiri. Bukan calon kayangan yang jauh dengan rakyat, tetapi calon tempatan.

“Beliau dikenali dekat dengan anak muda, tidak kekok menyantuni orang tua. Beliau tidak melobi dan bukan calon tangkap muat yang terpaksa menggunakan dana dan jentera kerajaan untuk menarik undi,” ujar Zurk dalam satu kenyataan hari ini.

Pembangunan yang sedang berjalan di Nenggiri katanya, bakal dijaga dengan baik oleh Wadi dan beliau seorang bekas ahli tentera yang dilatih bertanggungjawab dan setia berkhidmat.

Tambahnya, pengorbanan Wadi bukan pengorbanan yang biasa dan beliau menerima baik perancangan yang dibuat pimpinan dengan penuh lapang dada serta bersedia berjuang untuk masyarakat mewakili PN.

“Beliau diangkat sebagai calon paling layak selepas ditapis dengan penuh tertib dan pertimbangan yang harmoni oleh pimpinan tertinggi setiap parti komponen dalam PN. Disokong dan didukung oleh seluruh ahli PN.

“Inilah bukti kerjasama yang kukuh dalam PN. Parti sentiasa menyusun strategi dengan baik untuk membawa calon yang bukan sahaja dipilih oleh pimpinan, bahkan yang lebih utama akan dipilih rakyat secara majoriti,” terangnya.

PN menurut Zurk, berpegang kepada janji dan tidak saling menjatuhkan serta memelihara kekuatan muafakat.

Semua itu ujarnya tidak berhasil tanpa ikatan janji yang saling dipegang kukuh.

“Prinsip PN jelas. Kebajikan dan khidmat untuk masyarakat mesti paling diutamakan, bukan kepentingan peribadi yang akan terus menyusahkan rakyat di kemudian hari,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -