Kedah ganjar RM3,000 pemenang pingat emas SUKMA

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah menjanjikan ganjaran berupa wang tunai sebanyak RM3,000 kepada pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di Sarawak, 17 Ogos depan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan bendera Kedah kepada kontinjen negeri itu, di Stadium Suka Menanti, di sini hari ini.

Manakala katanya, pemenang pingat perak dan gangsa masing-masing akan menerima ganjaran RM2,000 dan RM1,000 seorang.

“Ganjaran ini sebagai penyuntik semangat kepada para atlet agar bersungguh-sungguh membawa pulang pingat kemenangan untuk Kedah,” jelasnya.

Dalam pada itu tambah Sanusi, atlet yang berjaya memperolehi pingat dalam acara perseorangan, berpasangan mahupun berkumpulan, akan diberi ganjaran segera (on the spot) pada hari kejadian.

“Ganjaran wang tunai sebanyak RM1,000 untuk pingat emas, RM500 untuk perak dan RM300 untuk gangsa bagi acara perseorangan.

‘Manakala berpasangan RM500 (emas), RM250 (perak), RM150 (gangsa), sementara berkumpulan (tiga hingga enam orang), RM300 (emas), RM150 (perak) dan RM100 (gangsa).

“Pasukan tujuh orang ke atas, RM200 (emas), RM150 (perak) dan RM100 kepada pemenang pingat gangsa,” jelasnya.

Seramai 384 atlet termasuk 213 para pegawai yang diketuai oleh Ketua Kontinjen Kedah, Dato’ Mohd Fauzi Mustafa akan menyertai SUKMA tahun ini dengan sasaran pingat, 23 (emas), 24 (perak) dan 25 (gangsa).

“Saya mengharap semua acara yang disertai akan berjaya menyumbang pingat kemenangan kepada Kedah. Saya lihat tahun ini ada kelainan, atlet pun nampak sangat bersemangat,” tambah beliau.

Sementara itu semua urusan tiket penerbangan kontinjen Kedah ke Sarawak katanya sudah selesai, malah Kedah merupakan negeri terawal penyelesaian urusan tersebut.

Dengan slogan ‘Pulun Kedah Pulun’, serta bersemangatkan The Greater Kedah, beliau mengharapkan kontinjen dapat mencapai kecemerlangan mengharumkan nama baik negeri.

“Daripada 2.2 juta rakyat Kedah, anda terpilih mewakili Kedah. Berjuanglah dengan jiwa murni. Buat bersungguh-sungguh. Jangan angkuh dan ambil mudah. Pergi sana (Sarawak) bukan untuk berseronok. Jaga akhlak dan kehebatan orang Kedah.

“Ingat! pihak lawan pun berlatih bersungguh-sungguh. Tidur awal. Jangan main ‘game’ (permainan video). Biar esok bangun pagi, rasa segar dan semangat,” pesannya lagi. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -