
KUANTAN: Kedai-kedai perlu menggunakan khidmat kontraktor susulan tiada lagi tong sampah besar diletakkan di tepi-tepi jalan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu.
Menurutnya, dalam usaha menjaga kebersihan, persekitaran dan pemandangan yang lebih baik, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memutuskan tidak lagi menyediakan tong sampah di tepi-tepi jalan.
Susulan daripada itu, ujarnya tong-tong sampah persendirian akan diagihkan ke rumah-rumah secara berperingkat termasuk rumah-rumah kampung.
Tambahnya, manakala para peniaga dan pekedai pula disaran menggunakan khidmat kontraktor pungutan sampah berlesen sepertimana yang telah dilakukan oleh banyak premis perniagaan.
Beliau berkata, ia boleh diatur secara persendirian atau berkumpulan.
“Itu antara beberapa perkara yang dimaklumkan kepada saya dalam pertemuan dengan pihak SWCorp pada pagi semalam,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Katanya, SWCorp merupakan agensi yang menguruskan sampah-sampah dan pembersihan di kawasan-kawasan awam.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid dan para pegawainya yang sudi menerima kunjungan beliau serta berkongsi pelbagai maklumat berkaitan pengurusan sampah khususnya dalam DUN Beserah. (Foto atas)
“Pihak saya mengambil kesempatan menyampaikan beberapa aduan dan cadangan selain bertanyakan perkara-perkara berkaitan yang melibatkan kepentingan awam,” ujarnya.
Beliau menyambut baik pelbagai usaha yang dilakukan oleh SWCorp dalam menambah baik pengurusan sampah dan kerja-kerja pembersihan dari semasa ke semasa.
“Pihak saya bersedia untuk memberikan kerjasama bagi tujuan tersebut.
“Saya berharap masyarakat awam juga dapat memberikan kerjasama kepada SWCorp bagi memastikan persekitaran kita lebih bersih dan lebih baik,” ujarnya lagi.
Katanya, kebersihan bukan sahaja untuk penjagaan kesihatan, imej pelancongan dan kesejahteraan awam, malah ia adalah tuntutan agama yang perlu dijadikan amalan dan budaya dalam masyarakat. – HARAKAHDAILY 7/8/2024











