
ALOR SETAR: Pengalaman menghadiri Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT) kali ke-5, memberi banyak pengajaran dan pengalaman baharu khususnya kepada peserta Kedah.
Setiausaha Khidmat Malaysia Kedah, Ustaz Mohd Saifuddin Hassan berkata, banyak perbezaan antara HEBAT 4.0 yang diadakan di Kedah, berbanding HEBAT 5.0 yang dilangsung di Pulau Jeha, Chenor, Pahang.
“Aktiviti HEBAT 5.0 bagi kami lebih mencabar. Kalau di Pusat Latihan PAS Kedah di Sedim dulu, boleh pandu kenderaan rapat ke khemah, tetapi di Pulau Jeha ini, peserta perlu baik bot.
“Kena panjat tebing tinggi untuk angkut barang-barang ke khemah. Permulaan pun sudah mencabar,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Itu tambahnya, tidak termasuk aktiviti mendaki Bukit Kertau yang diselitkan bersama modul khas, selain sewaktu turun perlu mengusung peserta cedera sebagai praktikal.
Namun kata beliau, semua perkara itu dianggap cabaran sesuai sebagai sukarelawan yang pastinya menempuh pelbagai kesusahan dalam tugasannya.
“Di Pulau Jeha ini juga, kami dapat pelajari ilmu baharu yang tidak dapat sewaktu HEBAT 4.0 tahun lalu.
“Antaranya bagaimana menggunakan air mentah yang keruh sebagai minuman, kalau HEBAT 4.0, semua peserta dibekalkan dengan air terawat.
“Masak pun kena masing-masing bawa periuk belanga sendiri, dapur dan bahan mentah sendiri. Dasyatkan tetapi sewaktu HEBAT 4.0, kami ni seolah-olah manjalah, ada dapur rakyat sepusat.
“Lebih teruja, sakit perut. Nak buang air besar, air kecil, kena gula tandas gali dan kambus sendiri,” jelasnya lagi.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Naka berkata, HEBAT 5.0 bukan sahaja menguji kesabaran dan kekentalan peserta, sebaliknya para sukarelawan dapat mempelajari ilmu dan pengalaman baharu.
Ketua Kontinjen Kedah itu juga menambah, pada program kali ini kompas dan aplikasi penggunaannya didedahkan kepada peserta terutama di waktu malam.
HEBAT 5.0 yang diadakan selama tiga hari bermula 2 Ogos lalu, disertai kontinjen Kedah seramai 84 sukarelawan, melibatkan 14 Briged Muslimat dan 10 anggota Jabatan Amal.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, selain turut diadakan kenduri rakyat yang dihadiri penduduk Chenor. – HARAKAHDAILY 6/8/2024














