Bayaran royalti petroleum: Hak rakyat Terengganu dinafikan sesuka hati

Jumlah royalti petroluem yang belum dibayar oleh kerajaan Madani kepada Terengganu adalah sebanyak RM1.182 bilion.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Episod kezaliman dan kekejaman Kerajaan Madani berulang. Hak rakyat Terengganu dinafikan sesuka hati.”

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata demikian susulan bayaran royalti petroleum kepada kerajaan negeri yang sepatutnya berjumlah RM1.524 bilion hanya dibayar RM425.17 juta setakat ini. 

- Advertisement -

“Ini menjadikan jumlah royalti yang belum dibayar oleh kerajaan Madani kepada Terengganu adalah sebanyak RM1.182 bilion. Ini adalah nilai hak rakyat Terengganu yang dirampas oleh Madani bagi dua tahun ini sahaja,” katanya.  

Tambah beliau, bayangkan betapa banyak lagi kezaliman yang akan mereka lakukan sepanjang mereka memegang kuasa persekutuan. 

Keadaan ini berlainan jika dibandingkan semasa zaman pentadbiran di bawah Tun Dr Mahathir; Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, wang royalti ini diberi tanpa masalah. 

Zurk Ahmad

Zurk berkata, lihat sahaja rekod bayaran royalti minyak yang diperoleh kerajaan Terengganu sejak 2018 sehingga sekarang.

“Pada 2018, kerajaan Terengganu telah menerima bayaran loyalti sebanyak RM 1.374 bilion. Pada 2019 pula, bayaran yang diperolehi adalah sebanyak RM 1.497 bilion. 

“Sementara,  bayaran yang diperolehi pada 2020, adalah sebanyak RM 1.226 bilion. Bayaran pada tahun 2021 adalah sebanyak RM 1.287 bilion diikuti pula bayaran sebanyak RM 1.394 bilion pada tahun 2022,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook PAS Selangor. 

Menurut beliau lagi, tahun 2023 dan 2024 merekodkan jumlah terendah dalam sejarah. 

“Ini merupakan sebuah kezaliman yang dibuat secara sengaja dan terang-terangan.

“Bayaran loyalti kepada Terengganu bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM802.18 juta. Sementara, jumlah bayaran yang telah diterima setakat ini bagi tahun 2024 pula RM425.17 juta. 

“Dakwaan bahawa Akta Laut Wilayah 2012 menjadi halangan untuk bayaran royalti juga adalah satu penipuan,” tegasnya.

Zurk turut mempersoalkan,  jika akta tersebut menjadi hujah, kenapa bayaran royalti tetap diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2012 hingga 2022? Kenapa hanya pada 2023 baru perkara ini berbangkit?

“Bukan itu sahaja, kaedah pembayaran juga dibuat secara luar tabii dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana kerajaan sebelumnya apabila pembayaran dibuat terus oleh pihak ketiga (Kerajaan Persekutuan) kepada kontraktor tanpa pengetahuan kerajaan negeri,” ujarnya.

Katanya lagi, timbul rasa pelik, menyusahkan kerajaan negeri dan membebankan penjawat awam di Putrajaya.

“Oleh itu, kerajaan begini wajar ditolak. Betapa tempang semangat federalism dan keadilan di era Madani. 

“Pastinya episod kezaliman ini akan terus berulang selama mana mereka berkuasa sehingga rakyat terpaksa menanggung kesan berpanjangan. 

“Janganlah kita menjadi penyokong kepada kezaliman yang menjelikkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2024

- Advertisement -