Rusuhan di Bangladesh makin parah: 280 terbunuh

Perarakan antikerajaan besar-besaran yang dirancang pada hari ini, 5 Ogos 2024, dikhuatiri mencetuskan keganasan yang lebih teruk di Bangladesh. (FOTO: BBC, Reuters, France 24)
- Advertisement -

DHAKA: Sekurang-kurangnya 90 orang lagi terbunuh di Bangladesh pada Ahad (4 Ogos), di tengah-tengah pertempuran yang semakin teruk antara polis dan penunjuk perasaan anti-kerajaan; menyaksikan jumlah kematian sejak gerakan protes bermula pada Julai kini mencecah lebih 280 orang.

Pergolakan berlaku ketika pemimpin pelajar telah mengisytiharkan kempen keingkaran awam untuk menuntut Perdana Menteri Sheikh Hasina meletakkan jawatan.

Pihak polis dalam kenyataannya berkata, 13 pegawai polis terbunuh apabila beribu-ribu perusuh menyerang sebuah balai polis di daerah Sirajganj, lapor BBC.

- Advertisement -

Bantahan golongan pelajar di Bangladesh tercetus pada bulan lalu dengan tuntutan untuk menghapuskan kuota dalam perkhidmatan awam, tetapi kini telah bertukar menjadi gerakan anti-kerajaan yang lebih meluas.

Kedua-dua polis dan beberapa penyokong parti pemerintah dilaporkan menembak penunjuk perasaan anti-kerajaan dengan peluru hidup, selain menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah.

Perarakan besar-besaran 5 Ogos 2024

Perintah berkurung semalaman di seluruh negara telah dilaksanakan sejak 18:00 (12:00 GMT); yang mana Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Türk, menggesa agar ‘keganasan yang mengejutkan’  dihentikan dan menggesa sekatan daripada ahli politik dan pasukan keselamatan Bangladesh.

Beliau menyatakan kebimbangan khusus terhadap perarakan besar-besaran yang dirancang di Dhaka pada hari ini, Isnin (5 Ogos), memberi amaran tentang risiko ‘kehilangan nyawa dan kemusnahan yang lebih besar’.

“Kerajaan mesti berhenti menyasarkan mereka yang mengambil bahagian secara aman dalam gerakan protes, segera membebaskan mereka yang ditahan sewenang-wenangnya, memulihkan akses internet penuh, dan mewujudkan syarat untuk dialog yang bermakna,” tambah Turk.

Beliau menyatakan juga, usaha berterusan untuk menekan rasa tidak puas hati rakyat, termasuk melalui penggunaan kekerasan yang berlebihan, dan penyebaran maklumat salah yang disengajakan dan hasutan kepada keganasan, mesti segera dihentikan.

Hasina menentang usul peletakan jawatan

Di tengah-tengah desakan untuk meletak jawatan, Hasina kedengaran menentang sebarang usul berkenaan. 

Bercakap selepas pertemuan dengan ketua keselamatan, lapor BBC, beliau berkata, penunjuk perasaan ‘bukan pelajar tetapi pengganas yang mahu menggugat kestabilan negara’.

Pada Ahad, Menteri Undang-undang dan Kehakiman, Anisul Huq memberitahu program Newshour BBC bahawa pihak berkuasa menunjukkan ‘kekangan’.

“Sekiranya kita tidak menunjukkan sikap menahan diri, akan berlaku pertumpahan darah. Saya rasa kesabaran kita ada hadnya,” tambahnya.

Di ibu negara, Dhaka, akses kepada internet pada peranti mudah alih telah digantung. Kematian dan kecederaan telah dilaporkan di seluruh negara, termasuk daerah utara Bogra, Pabna dan Rangpur.

Beribu-ribu orang berkumpul di dataran utama di Dhaka dan telah berlaku insiden keganasan di bahagian lain di bandar itu.

“Seluruh bandar telah bertukar menjadi medan pertempuran,” ujar seorang anggota polis, yang enggan namanya disiarkan, memberitahu agensi berita AFP

Dua berkata gerombolan yang terdiri daripada beribu-ribu  penunjuk perasaan telah membakar kereta dan motosikal di luar sebuah hospital.

Sementara itu, seorang tokoh utama dalam kempen ketidaktaatan sivil di seluruh negara, Asif Mahmud menyeru penunjuk perasaan untuk berarak di Dhaka pada hari ini, Isnin.

“Masanya telah tiba untuk bantahan terakhir,” tegasnya.

Kumpulan antikerajaan gesa jangan bayar cukai, bil

Pelajar Menentang Diskriminasi, kumpulan di belakang demonstrasi antikerajaan pula menggesa orang ramai supaya tidak membayar cukai atau sebarang bil utiliti. Ia juga menggesa operasi semua kilang dan pengangkutan awam ditutup.

Terdahulu, kira-kira 10,000 orang dilaporkan telah ditahan dalam operasi besar-besaran oleh pasukan keselamatan sejak dua minggu lalu, yang termasuk  pelajar dan penyokong pembangkang.

Beberapa bekas anggota tentera telah menyatakan sokongan kepada pergerakan pelajar, termasuk bekas ketua tentera Jeneral Karim Bhuiyan, yang memberitahu BBC: “Kami menyeru kerajaan  untuk menarik balik angkatan bersenjata dari jalanan dengan segera.

Saya dan bekas anggota tentera yang lain mengutuk ‘pembunuhan, penyeksaan, kehilangan dan penangkapan besar-besaran’ penunjuk perasaan.

Beberapa hari berikutnya selepas ini dilihat penting untuk kedua-dua kerajaan dan kumpulan penunjuk perasaan di negara yang sedang bergolak ini.

Protes itu menimbulkan cabaran besar kepada Hasina, yang dipilih untuk penggal keempat berturut-turut dalam pilihan raya Januari, yang diboikot oleh pembangkang utama.

Golongan pelajar turun memprotes di jalanan bulan lalu membantah  kuota yang mengkhususkan satu pertiga daripada pekerjaan perkhidmatan awam untuk saudara-mara veteran perang kemerdekaan Bangladesh dengan Pakistan pada 1971.

Kebanyakan kuota kini telah dikurangkan oleh kerajaan berikutan keputusan kerajaan, tetapi pelajar terus membantah, menuntut keadilan bagi mereka yang terbunuh dan cedera. 

Sekarang mereka mahu Hasina meletakkan jawatan tetapi Hasina dan penyokongnya terang-terangan telah menolak usul peletakan jawatannya.

Terdahulu, Hasina menawarkan dialog tanpa syarat dengan pemimpin pelajar, mengatakan beliau mahu keganasan tersebut berakhir.

“Saya mahu mengadakan perbincangan bersama-sama gerakan pelajar yang gelisah ketika ini dan mendengar luahan mereka. Saya tidak mahu konflik,” katanya.

Namun, penunjuk perasaan pelajar telah menolak tawaran Hasina yang kemudian  bermula pada bulan lalu tel;ah mengarahkan pasukan tentera untuk memulihkan keadaan selepas beberapa balai polis dan bangunan negeri dibakar ketika protes berlangsung. -Agensi/ – HARAKAHDAILY 5/8/2024

- Advertisement -