
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Garis Panduan Hiburan Negeri Terengganu secara menyeluruh tanpa diskriminasi terhadap mana-mana pihak.
Beliau menyatakan demikian susulan menerima WhatsApp daripada kawan-kawan yang menghantar pelbagai keratan akhbar dan berita dalam website tentang isu garis panduan berkenaan.
“Saya ingin menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada apa apa pertubuhan yang mewakili pelbagai segmen sama ada kebudayaan, warisan, agama dan lain lain untuk mengadakan program mereka selagi mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan,” jelasnya dalam kenyataan menerusi laman sosial beliau.
Berkenaan dengan isu yang tular, beliau menerangkan bahawa permohonan daripada Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than telah diterima oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 20 Jun lalu untuk memohon permit bagi upacara keagamaan dan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni sempena ulang tahun kuil Kwan Tee Than pada 29 Julai hingga 2 Ogos.
Menurutnya, MBKT telah meluluskan permohonan yang dikemukakan tertakluk kepada syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than termasuk bagi persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni perlu mengikuti Garis Panduan Hiburan Negeri Terengganu.
Beliau berkata, berdasarkan kepada garis panduan tersebut, persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang melibatkan artis wanita hanya dibenarkan kepada penonton wanita sahaja.
Walau bagaimanapun, jelasnya pengecualian diberikan kepada persembahan artis lelaki dan artis wanita untuk penonton bukan Muslim.
“Memandangkan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang dimohon oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than membabitkan penonton lelaki dan wanita di khemah terbuka dalam kawasan yang terbuka di kawasan kuil tersebut, yang mana orang yang lalu lalang dapat melihat persembahan tersebut, maka persembahan seperti ini tidak dianggap sebagai khusus untuk bukan Islam dan pemakaian garis panduan umum untuk melarang artis wanita adalah terpakai,” jelasnya lagi.
“Pemakaian garis panduan tersebut adalah secara menyeluruh tanpa diskriminasi terhadap mana-mana pihak dan ianya adalah garis panduan umum bagi aktiviti hiburan bagi maksud Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 yang diterima pakai di Negeri Terengganu,” ujarnya yang juga ADUN Wakaf Mempelam. – HARAKAHDAILY 5/8/2024











