SkimPAS bayar RM4.9j manfaat dalam enam tahun

- Advertisement -

TANGGA BATU: Skim Kifalah Ahli PAS (SkimPAS) yang berkonsepkan khairat kematian dan takaful yang dikelolakan oleh Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial (LKKS) PAS Pusat telah membayar RM4.9 juta manfaat kepada pencarum.

- Advertisement -

Pengurus Besar SkimPAS, Abdul Razak Mohamed berkata, jumlah itu melibatkan 737 pencarum atau pun penerima manfaat sepanjang enam tahun skim tersebut beroperasi.

Sungguhpun begitu menurut beliau, pihaknya sedang dalam usaha meningkatkan jumlah pencarum di mana pada masa ini masih belum mencapai sasaran bagi membolehkan skim tersebut memiliki dana lebihan untuk dilaburkan bagi melestarikan lagi operasi.

“Sekarang ni seperti yang saya sebut tadi bilangan penyertaan kita di bawah paras sasaran. Jadi maknanya dana yang kita dapat hanya cukup untuk membayar pampasan ataupun manfaat kepada ahli.

“Insya-Allah kalau kita dapat melebihi sasaran yang kita tetapkan, lebihan dana itu kita akan gunakan untuk pelaburan supaya kita dapat menambahkan lagi manfaat-manfaat yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi LKKS PAS Pusat berkata, untuk tahun ini, pihaknya telah mengumpul penyertaan seramai 20,000 berbanding sasaran sebanyak 30,000 peserta.

“Tahun 2023 kita telah mendaftarkan 21,800 peserta, tetapi sasaran kita 30,000. Jadi kita kurang dalam 8,000 lebih. Jumlah caruman sekitar RM1.2 juta. Cukup untuk membayar manfaat sahaja dan juga kos operasi.

“Jadi kita tak boleh lagi nak laksanakan pelan yang kita sebutkan tadi untuk membantu lebih daripada apa yang kita dapat berikan kepada ahli sekarang,” katanya.

Jelas beliau, SkimPAS telah merangka satu pelan strategi untuk jangka masa panjang yang mengandungi pelan untuk melaburkan lebihan dengan syarat pihaknya mempunyai bilangan penyataan mencukupi.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui pada program ‘Kursus Latihan Perunding SkimPAS’ Negeri Melaka yang berlangsung di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tangga Batu, di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya dalam rangka menyelesaikan _roadshow_ ke semua negeri bertemu para perunding SkimPAS bagi memfokuskan strategi dan perkongsian manfaat tambahan dapat diberi kepada ahli-ahli.

“Jadi alhamdulillah pada hari ini kita berada di Melaka dan telah kita laksanakan jelajah ini dan semalam kami di Johor. Insya-Allah ada empat negeri saja lagi yang belum selesai iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan juga Pulau Pinang,” katanya.

Beliau turut menggesa agar semua ahli-ahli parti terutama di Negeri Melaka agar segera menyertai skim tersebut selaras dengan pesanan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Presiden beritahunya, menyeru semua ahli PAS perlu menyokong dan mendukung SkimPAS sebagai satu produk parti itu supaya PAS dapat menjadi sebuah parti yang berkebajikan.

“Juga yang disebut oleh Tuan Guru Pesuruhjaya PAS Melaka, kita nak memberikan impak dalam situasi politik di Malaysia ini bahawa PAS ini bukan hanya kuat dari segi politik, tetapi juga kuat dari segi dananya yang disumbang oleh ahli sendiri.

“Yang kita semua tahu bahawa PAS sekarang ini berjaya di atas dana ahli-ahlinya. Jadi dengan adanya produk SkimPAS ini pengurusan dananya lebih tersusun, lebih terurus.

“Supaya dapat membantu lebih ramai ahli dan membantu parti untuk meneruskan perjuangan di dalam politik kita di Malaysia ini,” ujarnya.

Dalam program itu, seramai sembilan Perunding SkimPAS dengan tiga daripada mereka adalah perunding baharu dan enam pencarum hadir bagi mendengar taklimat yang disampaikan.

Program dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dengan Pengerusi LKKS Negeri, Mohsin Ibrahim turut menyampaikan ucapan alu-aluan.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Muhamad Anuar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 4/8/2024

- Advertisement -