Jambatan Kg Pdg Cina dibina guna teknologi baru

- Advertisement -

BALING: ADUN Kupang, Brig Jen (B) Dato’ Ustaz Najmi Ahmad berpuas hati dengan perkembangan pembinaan jambatan baharu di Kampung Padang Cina, Kupang, di sini.

- Advertisement -

Beliau hadir ke lapangan menyaksikan sendiri perkembangan pembinaan jambatan tersebut di mana dibina menggantikan jambatan lama yang rosak akibat banjir

“Pembinaan jambatan di Padang Cina itu dibina menggunakan teknologi baharu yang lebih selamat. Kalau teknologi lama, kena ketuk bila buat kerja ‘piling’ tapi sekarang guna gas. Cepat dan lebih mudah,” kata beliau.

Pada tinjauan itu, Najmi diberi taklimat oleh pengendali projek, di mana melalui teknologi baharu, penggerudian tidak lagi menggunakan hidraulik sebaliknya menggunakan air.

Penggunaan hidraulik difahamkan boleh meninggalkan kesan minyak di dasar sungai sekiranya berlaku kebocoran, sebaliknya menggunakan air, tidak akan memberi sebarang kesan sekiranya berlaku kebocoran.

“Saya mengharapkan pembinaan jambatan Padang Cina ini berjalan lancar dan segera siap serta boleh digunakan oleh orang ramai,” tambah beliau.

Bencana banjir beberapa tahun lalu telah menyebabkan jambatan  berkenaan rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Jambatan Kampung Cina itu merupakan laluan utama penduduk beberapa buah kampung seperti Kampung Padang Cina, Kampung Lela serta Kampung Landak Hilir.

Perkara itu juga mendapat perhatian Exco Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali selain turut turun meninjau keadaan jambatan berkenaan dua tahun lalu. – HARAKAHDAILY 4/8/2024

- Advertisement -