
KUALA LUMPUR: Pahang sekali lagi diberi tanggungjawab sebagai tuan rumah Muktamar Tahunan PAS Ke-70 yang akan berlangsung di Kompleks al Makmur, Kerdau, September nanti.
Sehubungan itu, PAS Kawasan Kuantan, Indera Mahkota, Pekan dan Rompin telah diamanahkan untuk bergotong-royong bagi persiapan tempat menjelang muktamar itu.
“Alhamdulillah, amanah ini telah disambut oleh jentera PAS kawasan masing-masing dengan penuh semangat.
“Inilah PAS, apabila diseru, ahlinya akan keluar untuk berkhidmat tanpa bayaran dan upah,” kata Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor menerusi satu hantaran di laman sosialnya, semalam.
Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah hadir bersama pada gotong royong tersebut.
“Semoga rahmat Allah sentiasa bersama kalian,” ujarnya yang juga Timbalan PAS Kawasan Kuantan.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan mengikut perancangan awal muktamar itu diadakan pada Julai tetapi terpaksa ditangguhkan atas faktor penginapan.
Beliau berkata penangguhan tersebut dilakukan bagi memberi peluang dan tempoh kepada perwakilan seluruh negara untuk merancang tempat penginapan serta mencari lokasi sesuai untuk rehat.
Pahang pernah diamanahkan sebagai tuan rumah Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 lalu yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada 2019.
Muktamar Tahunan PAS pada tahun lepas berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor dan sebelumnya di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. – HARAKAHDAILY 4/8/2024











