Buli siber: Kaum wanita sering jadi sasaran utama

- Advertisement -

ALOR SETAR: Malaysia antara negara yang tidak terlepas daripada fenomena buli siber atau ‘doxing’ yang bergerak seiring dengan kemajuan dan kepesatan teknologi digital.

- Advertisement -

Tragedi hitam yang rasanya masih terpahat diingatan rakyat Malaysia apabila seorang pempengaruh TikTok yang bernama Esha telah meragut nyawanya sendiri akibat tekanan buli siber.

Pegawai Penyeldik, Yayasan Kedah Sejahtera (YKS), Hidayah Zakaria, berkata, menurut kajian yang dijalankan oleh CyberSecurity Malaysia mendapati, 50 peratus daripada wanita yang menggunakan internet di negara ini pernah menjadi mangsa buli siber.

“Wanita sering menjadi sasaran utama buli siber atau ‘doxing’ seperti diganggu secara seksual, dihina, dimaki dan dimalukan. Sebelum ini tragedi bunuh diri oleh artis luar negara seperti Korea Selatan.

“Ini disebabkan oleh tekanan mental kerana buli siber, termasuk pempengaruh Esha yang meragut nyawanya sendiri juga akibat tekanan buli siber,” kata beliau.

‘Doxing’ jelasnya merupakan perbuatan mempamerkan maklumat peribadi mangsa dengan bertujuan untuk memalukan, mengugut dan menghukum.

Kesan daripada jenayah ‘doxing’ ini tambah beliau menyebabkan wanita atau mangsa sering mengalami trauma dan tekanan mental yang membimbangkan.

“Kebanyakan yang menjadi mangsa ‘doxing’ ini, kehidupan peribadi mereka akan terganggu oleh perasaan takut kerana mereka merasakan diri sentiasa diawasi atau terancam.

“Ini kerana ‘doxing’ juga dikategori sebagai keganasan gender terhadap wanita yang memberi kesan langsung kepada individu yang terlibat,” katanya lagi.

Berikutan itu kata Hidayah, ancaman berkenaan telah menyebabkan ketidakseimbangan gender dalam sektor tertentu.

Wanita khususnya ujar beliau, akan terkesan dan mengakibatkan ramai dari kalangan mereka akan kurang atau mengelakkan dari terlibat dalam aktiviti sosial, politik, atau profesional dalam talian.

“Menurut Sekretariat Pertubuhan Naratif Malaysia, akta berhubung ‘doxing’ atau buli siber ini masih kabur. Malaysia setakat ini hanya menggunakan peruntukan seperti Kanun Keseksaan.

“Dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 serta beberapa akta lain seperti Akta Jenayah Komputer 1997 untuk mendakwa penjenayah siber.

“Oleh itu, kerajaan disarankan agar merangka undang-undang baru untuk mengatasi aktiviti ‘doxing’ secara khusus dan lebih luas berkaitan dengan privasi dan keselamatan dalam talian,” cadang beliau.

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga perlu melihat kes bunuh diri terjadi kepada Esha ini sebagai tragedi besar yang memerlukan kepada tindakan segera dari segi penguatkuasaan.

Tindakan itu tambah beliau  agar tiada lagi nyawa yang melayang akibat rakusnya komen-komen ugutan dan hinaan bermahajarela di media sosial. – HARAKAHDAILY 4/8/2024

- Advertisement -