Pelepasan benih ikan pemangkin perikanan rekreasi, ekopelancongan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 63,000 ekor benih yang terdiri daripada spesies ikan lampam sungai (10,000), baung (3,000) dan udang galah (50,000) berjaya dilepaskan, pagi tadi.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, program itu ialah pelepasan benih ikan, penyerahan bantuan kepada nelayan darat dan penternak akuakultur. (Foto atas)

Beliau menyatakan demikian susulan Program Pelepasan Benih Ikan dan Penyerahan Bantuan Peralatan Nelayan Darat Daerah Marang dan Hulu Terengganu di Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, dekat sini, hari ini.

Katanya, objektif utama program pelepasan benih ikan ke perairan umum adalah bagi memulihara dan meningkatkan sumber bagi memastikan keterjaminan makanan, peningkatan ekonomi nelayan darat serta menjadi pemangkin kepada aktiviti perikanan rekreasi dan ekopelancongan.

Dalam catatan di Facebooknya, beliau berkata program pelepasan benih ikan itu dijangka akan memberi manfaat bagi 183 orang nelayan darat yang berdaftar dengan jabatan, penduduk setempat serta pengusaha ekopelancongan.

Tambahnya, pada program itu juga seramai 35 orang penerima bantuan peralatan nelayan darat berupa dua unit pukat tangsi.

Sementara itu, Jabatan Perikanan negeri menggesa orang ramai membuat laporan kepada pihak polis atau pejabat perikanan berhampiran jika terdapat aktiviti kaedah penangkapan ikan terlarang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti menggunakan racun, bom ikan atau menangkap ikan menggunakan arus elektrik.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, kaedah tersebut akan mengakibatkan kepupusan spesies ikan dan hidupan lain sekali gus akan mengganu ekosistem sungai dan turut memberi kesan kepada nelayan darat hilang sumber pencarian.

“Jadi apabila terlihat perkara pelik yang digunakan bagi menangkap ikan yang tidak dibenarkan laporkan segera dan tindakan undang-undang akan diambil melalui penguatkuasaan undang-undang melalui Akta Perikanan 1985.

“Adalah perlu untuk orang ramai peka dan cari jalan bagi mengatasi perkara ini bagi menjaga ekosistem sungai dan memelihara spesies ikan dan hidupan lain bagi mengekalkan kelestarian yang akan memberi manfaat kepada semua,” ujarnya ketika berucap pada majlis yang dirasmikan oleh Ariffin itu. – HARAKAHDAILY 1/8/2024

- Advertisement -