
KUALA LUMPUR: Ismail Haniyeh merupakan tokoh yang benar-benar mewakili aspirasi rakyat Palestin dalam menentang kezaliman negara haram Israel dan menuntut kedaulatan negara Palestin yang merdeka selepas pemergian Syeikh Ahmed Yassin dan Abdul Aziz al-Rantisi.
Naib Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Selangor, Ustaz Imran Selamat berkata, tidak dinafikan pada masa ini beberapa kerajaan Arab telah melakukan hubungan normalisasi dengan negara haram tersebut.
“Tetapi Ismail Haniyeh bersama-sama seluruh rakyat Palestin jelas menyatakan tidak akan mengiktiraf negara haram Israel walaupun seluruh dunia tunduk kepada mereka,” katanya ketika sesi perbincangan bersama-sama Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gombak, Suffi Kamari mengenai Palestin yang diadakan di Pejabat Harakah, di sini, hari ini.
Menurut beliau, negara haram Israel tetap meneruskan serangan demi serangan terhadap rakyat Palestin itu sendiri walaupun telah ada ketetapan Majlis Keselamatan PBB berhubung perintah menghentikan serangan di Gaza.
Tambah beliau, negara haram tersebut sudah beberapa kali mencabul perjanjian damai yang dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu sendiri.
“Pembunuhan Ismail Haniyeh sememangnya akan memberi kesan kepada perundingan damai antara Palestin dengan negara haram Israel kerana beliau adalah pintu dari pihak Hamas untuk rundingan gencatan senjata.
“Akan tetapi, kita tidak seharusnya bermain sentimen Sunni dan Syiah serta seumpamanya kerana isu Palestin adalah melangkaui perbezaan mazhab itu sendiri.”
“Tambahan pula, umat Islam walaupun perbezaan mazhab seharusnya bersatu lebih-lebih lagi dalam menghadapi negara pengganas seperti Zionis Israel,” jelasnya.
Media melaporkan pada hari Selasa, Haniyeh telah menghadiri perasmian presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, serta bertemu dengan Pemimpin Tertinggi Iran.
Namun begitu, beliau bersama-sama seorang pengawal peribadinya terbunuh selepas kediamannya menjadi sasaran di Tehran, Iran.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melalui Jabatan Perhubungan Awamnya yang mengesahkan dalam satu kenyataan berkata, serangan itu dilakukan awal hari ini, Rabu, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan untuk mencari punca kejadian.
Sehubungan itu, Ustaz Imran menggesa mana-mana pihak untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan bermain sentimen mazhab dan khilaf dalam agama semata-mata.
Kata beliau lagi, sekalipun seseorang itu berfahaman Syiah atau berlainan agama sekali pun tetapi menyokong perjuangan rakyat Palestin maka perkara tersebut perlu disokong.
“Kita harus ingat bahawa negara-negara Sunni yang banyak memainkan naratif barat dengan melabelkan Hamas sebagai pertubuhan ‘pengganas’.
“Namun begitu, negara yang bermazhab Syiah seperti Iran yang telah banyak membantu rakyat Palestin tapi mengapa masih lagi nak bermain isu sebegini?
“Seharusnya perjuangan menentang rejim Zionis Israel membuat setiap umat Islam bersatu hati walaupun berbeza mazhab dan bukannya sebaliknya.
“Mari kita sama-sama untuk teruskan sokongan terhadap rakyat Palestin dalam apa jua keadaan memandangkan perjuangan Palestin ini adalah tidak bermusim,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024











