
TANAH MERAH: Kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) merancang untuk menaik taraf jumlah bekalan air semasa untuk keperluan penduduk di Tanah Merah.
Sehubungan itu, AKSB Tanah Merah berusaha untuk menaiktaraf jumlah bekalan air daripada semasa 50 juta liter perhari (JLH) kepada 100 JLH.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, pada sesi lawatannya, AKSB Tanah Merah, telah membentangkan hasil dapatan, isu-isu dan perancangan yang akan dilakukan mendepani cabaran yang bakal mendatang. (Foto atas)
Menurutnya, antara isu-isu yang diketengahkan dalam sesi lawatan kerja itu, berkaitan paip utama bocor, tekanan air rendah, paip uzur dan meter air yang tersumbat.
“Melihat kepada isu-isu yang berbangkit, AKSB Tanah Merah telah mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu ini.
“AKSB Tanah Merah telah mengenal pasti beberapa loji air untuk dinaik taraf dan segala kerja ke arah penukaran paip yang bocor dan uzur sedang giat dijalankan bagi menurunkan kadar ‘Non-Revenue Water’ (NRW),” katanya pada catatan di Facebooknya.
Semalam, beliau meluangkan masa mengunjungi kakitangan AKSB Tanah Merah untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan air di kawasan berkenaan.
Menurutnya, komitmen dan kerjasama padu daripada setiap tenaga kerja AKSB Tanah Merah, tidak lama lagi seluruh penduduk dapat menikmati sumber air bersih dan terawat di rumah masing-masing tanpa sebarang masalah. – HARAKAHDAILY 1/8/2024











