
TEHRAN: Ketua pimpinan Hamas, Ismail Haniyeh dan salah seorang pengawal peribadinya terbunuh selepas kediamannya menjadi sasaran di Tehran, Iran.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melalui Jabatan Perhubungan Awamnya yang mengesahkan dalam satu kenyataan berkata, serangan itu dilakukan awal hari ini, Rabu, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan untuk mencari punca kejadian.
Kenyataan itu menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Palestin, dunia Islam, dan pejuang Barisan Penentangan atas kematian pemimpin Hamas itu, lapor Tehran Times.
Sementara, kenyataan Hamas pula mengatakan serbuan oleh rejim Israel telah membunuh ketua kumpulan Palestin, Ismail Haniyeh di kediamannya di Tehran.
Terdahulu pada hari Selasa, Haniyeh telah menghadiri perasmian presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, serta bertemu dengan Pemimpin Tertinggi Iran. – HARAKAHDAILY 31/7/2024




















