Paras air empangan menyusut, kawasan pertanian terjejas

- Advertisement -

PADANG BESAR: Cuaca panas dan kemarau yang melanda negeri ini menyebabkan paras air di Empangan Timah Tasoh menyusut ke tahap membimbangkan, iaitu di bawah 27.10 meter sehingga 16 Julai lalu.

- Advertisement -

Penyusutan itu bermula sejak Jun dan kini berada pada situasi waspada.

Keadaan tersebut menyebabkan bekalan air untuk pertanian tidak dapat disalurkan yang mana bakal memberi kesan kepada 3,075 hektar kawasan tanaman padi di negeri ini.

Antaranya di Kampung Semadong, Beseri, di sini, kira-kira 70 pesawah di kawasan seluas 86 hektar terjejas berikutan sawah yang kering kontang dan tanah merekah.

Pesawah di sini hanya bergantung kepada hujan dan air dari Empangan Timah Tasoh untuk pengairan.

Empangan Timah Tasoh, dengan keluasan 20 kilometer persegi, mampu menampung kapasiti takungan sebanyak 40 juta meter padu dengan kedalaman normal sekitar 29.1 meter.

Namun pada masa ini, hanya bekalan air untuk kegunaan domestik yang dapat disalurkan dari empangan tersebut.

Menurut prosedur operasi sedia ada, bekalan air untuk pertanian akan dihentikan apabila paras air empangan mencapai 27.10 meter, paras minimum yang ditetapkan oleh kerajaan negeri melalui pengoperasian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri.

Ia bertujuan untuk menjamin bekalan air domestik tidak terganggu, melibatkan hampir satu pertiga daripada penduduk Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Negeri, Izizam Ibrahim berkata, paras minimum itu hanya membolehkan bekalan air untuk kegunaan domestik dan pertanian bertahan selama dua bulan sahaja jika tiada hujan di kawasan tadahan empangan.

Beliau mencadangkan penjadualan semula tanaman padi bagi memastikan bekalan air pertanian mencukupi, dengan penuaian bagi musim utama tidak melebihi Januari setiap tahun.

“Ketika musim utama penanaman padi yang dianggarkan bermula pada bulan September hingga Disember, Perlis menerima curahan hujan yang tinggi, yang dapat membantu menjamin kualiti dan hasil padi yang lebih baik,” katanya.

Malaysia diramal mengalami peningkatan suhu panas sepanjang tahun ini dan tahun-tahun akan datang sekiranya punca yang menyebabkan keadaan ini tidak ditangani segera.

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara bakal berdepan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September ini.

Izizam menambah, sebagai tindakan jangka panjang, JPS Negeri bersama JPS Malaysia sedang giat melaksanakan projek menaik taraf Empangan Timah Tasoh, yang kini berada dalam fasa tiga.

Projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 2026 dan akan meningkatkan jumlah simpanan air bagi memenuhi permintaan bekalan air domestik serta pertanian padi di negeri ini.

Seorang nelayan, Mohd Shariff Ismail, 62, melaporkan bahawa air telah surut lebih 200 meter di kawasan tengah tasik, menyebabkan ikan-ikan di santuari ikan air tawar di Timah Tasoh terpaksa dilepaskan.

“Jeti bot ronda di sini juga terpaksa dipindahkan ke kawasan pesisir tasik yang terletak 100 meter daripada jeti asal bagi memudahkan bot untuk kekal berada di kawasan yang dalam,” katanya.

Empangan Timah Tasoh terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kangar, merupakan empangan saliran terbesar di negeri ini.

Ia dibentuk dengan menenggelamkan sebuah kampung yang menjadi pertemuan dua sungai, Sungai Timah dan Tasoh, yang pada asalnya menempatkan masjid, rumah, sekolah, dan tanah perkuburan.

Kampung tersebut terpaksa ditenggelamkan untuk membentuk takungan air. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

- Advertisement -