Harapan kepada pindaan Akta KKP 2022

- Advertisement -

DALAM kalangan pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta industri sudah pun mengetahui akan kewujudan dan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022. Penguatkuasaan telah bermula  pada 1 Jun 2024.

- Advertisement -

Pada hemat saya secara amnya Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 adalah untuk: 

a. merancakkan aktiviti penguatkuasaan pihak autoriti,

b. merancakkan aktiviti pemeriksaan statutori (jentera berperakuan),

c. penambahan OYK bagi membantu peningkatan pematuhan, serta

d. peningkatan kepada usaha aplikasi prinsip peraturan kendiri (self regulate).

a. Merancakkan aktiviti penguatkuasaan pihak autoriti

Berdasarkan bilangan aktiviti sebelum ini (2004-2011), data telah menunjukkan bahawa aktiviti penguatkuasaan akta hanya menyumbang sekitar 30% sahaja. Selebihnya 70% adalah aktiviti pemeriksaan statutori (jentera berperakuan).

Oleh itu dengan adanya peruntukan Badan Pemeriksaan Bebas dan Orang Yang Berlesen ia dapat membantu badan autoriti memfokuskan kepada aktiviti penguatkuasaan akta.

b. Merancakkan aktiviti pemeriksaan statutori (jentera berperakuan)

Walaupun data yang ditunjukkan bukanlah data yang terkini, namun sebagai panduan kita dapat lihat bahawa walaupun sekitar 70% aktiviti diperuntukkan untuk pemeriksaan statutori (jentera berperakuan) bagi setiap tahun, namun masih terdapat lagi baki jentera yang tidak dapat diperiksa, iaitu trend tunggakan makin meningkat dan ia menyumbang kepada 40% kes tunggakan. 

Sebagai contoh ini dapat dilihat dengan membandingkan bilangan jentera yang patut diperiksa dan bilangan yang telah diperiksa iaitu pemeriksaan statutori hanya menyumbang kepada 149,835 jentera (60%) bagi tahun 2011 berbanding keseluruhan jentera patut diperiksa pada tahun tersebut iaitu sebanyak 251,708 (100%). 

Begitu juga pada tahun 2010 dan tahun 2009 iaitu jentera yang diperiksa hanya sekitar 150,835 (62%) dan 128,868 (64%). 

Oleh itu peruntukan Badan Pemeriksaan Bebas dan Orang Yang Berlesen diharapnya dapat juga menambahkan lagi orang yang kompeten dan berautoriti bagi melaksanakan pemeriksaan jentera berperakuan. Dengan ini ia dapat menyelesaikan isu-isu tunggakan.

c. Penambahan OYK bagi membantu peningkatan pematuhan

Peruntukan ‘appointed’ Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) dan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) nampaknya bertujuan supaya ada peningkatan Orang Yang Kompeten (OYK) di tempat kerja. Maka peningkatan ini dapat membantu organisasi di dalam pematuhan kehendak perundangan. Sekaligus ia sedikit sebanyak dapat mewujudkan pembudayaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

d. Peningkatan kepada usaha aplikasi prinsip peraturan kendiri (self regulate)

Oleh kerana nanti setiap organisasi adanya OYK sebagai penasihat serta adanya peruntukan seperti hak pekerja, tanggungjawab majikan, peningkatan penalti seharusnya ia dapat membantu kepada usaha aplikasi prinsip peraturan kendiri!

Oleh:

TS SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 30/7/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -