
TANGGA BATU: Hakisan yang berlaku di Pantai Puteri, di sini kini semakin memburuk dengan kejadian terbaru struktur sebuah kedai makan rosak teruk akibat hakisan tersebut.
Ia juga melibatkan sebuah lagi warung berhampiran kedai makan itu yang lenyap sepenuhnya selain sebuah rumah rehat berhampiran yang kehilangan kawasan pantainya.
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, hakisan tersebut diyakini berpunca daripada tambakan laut secara besar-besaran yang dilakukan di sebahagian besar kawasan laut negeri ini.
“Sebenarnya saya sudah dua kali menyuarakan sewaktu Sidang Dewan Rakyat sebelum ini. Saya cakap di Dewan Rakyat yang penimbunan laut di Melaka telah menimbulkan kesan yang buruk.
“Terutama pada komuniti nelayan sebagai yang paling teruk terkesan. Juga pihak-pihak lain sebagai pemegang taruh. Seperti yang kita lihat hari ini, peniaga ini rosak struktur kedainya,” kata beliau kepada Harakahdaily, semalam.
Katanya, dalam persidangan-persidangan Dewan Rakyat itu beliau telah mendedahkan bahawa hakisan teruk sedang berlaku kesan dari penambakan itu sehingga melibatkan pantai di kawasan Kem Terendak dan dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah.
Tambahnya, perubahan aliran arus laut akibat penambakan laut yang menyebabkan berlakunya hakisan pantai tersebut dilihat semakin membimbangkan.
Selain itu, penambakan laut itu juga merosakkan ekosistem biologikal dan sistem tempat pembiakan ikan di kawasan laut sekitar pantai itu.
Tambahnya, beliau telah mengadakan tinjauan terhadap kawasan tersebut semalam bagi melihat sendiri tahap kerosakan yang berlaku hasil aduan orang awam dan mereka yang terlibat dengan hakisan tersebut.
“Dari pemerhatian saya semalam, kemungkinan pemecah ombak yang dipasang itu mungkin tak cukup dan tak memadai untuk memperlahankan kekuatan arus dan ombak.
“Kita boleh tengok macam mana dekat Terengganu tu pemecah ombak dia besar. Ia juga jauh sampai ke tengah pemecah ombak yang mereka bina tu. Barulah dapat menangkis hakisan,” ujarnya.
Tegasnya, selama berpuluh tahun ini, seingat beliau, tidak pernah lagi berlaku hakisan pantai seteruk itu di pantai tersebut, namun ia terjadi sebegitu semenjak berlakunya penambakan laut besar-besaran yang sedang dilakukan pada masa ini.
“Kita boleh tengok apa yang berlaku ni memang menjejaskan peniaga-peniaga sepanjang pantai ni. Kasihan peniaga. Sekarang mereka tidak boleh berniaga dan terpaksa menanggung kerosakan,” katanya.
Beliau menyeru pihak Kerajaan Negeri Melaka akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengatasi perkara ini dan tidak hanya berpeluk tubuh dan membiarkan masalah ini berlalu begitu sahaja.
“Buat sesuatu. Pastikan segala yang diperlukan oleh Laporan Kesan Alam Sekitar (EIA) dibuat seperti yang sepatutnya. Beri bantuan kewangan kepada peniaga-peniaga yang mengalami kerugian ini,” katanya.
Untuk rekod Kerajaan Negeri Melaka pada waktu ini sedang dalam proses untuk melaksanakan beberapa projek mega penambakan laut antaranya ialah projek Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).
Ia melibatkan tambakan seluas 25,000 hektar di sepanjang 33 kilometer pantai negeri itu. – HARAKAHDAILY 30/7/2024











