
TANGGA BATU: Sekatan yang dilakukan terhadap media-media sosial dengan pelbagai cara telah menyebabkan rakyat tidak dapat melihat kredibiliti sebenar pimpinan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, akibat daripada itu, wujud sesetengah rakyat yang tidak yakin bahawa PN mampu mengambil alih pentadbiran kerajaan.
“Kadang-kadang masyarakat kata, ‘YB, kita sebenarnya kerajaan (sedia ada) ni memang kita nak tolak dah, tunggu masa saja, tapi kadang-kadang dia kata bila kita tolak kerajaan, kita tak nampak PN ni macam boleh ambil alih, tak nampak’.
“Saya kata ‘macam mana nak nampak, kita punya TikTok, kita punya _Facebook_ kena ‘shadow ban’. Kita buat kerja, tapi tuan-tuan tak tahu. Sebab kita bila isu yang hangat kita angkat, kena ‘remove’, kena banned,” katanya.
Kata Bakri, PN sebenarnya mempunyai ramai tokoh-tokoh profesional yang bukan sekadar ahli agama dan mempunyai kepakaran cukup untuk mentadbir negara, malah sebahagiannya berpengalaman menjadi kerajaan.
Namun menurutnya, pelbagai sekatan media sosial yang dilakukan pihak berkuasa menyebabkan ‘content’ yang memaparkan kemampuan pemimpin-pemimpin PN dalam mentadbir negara terlindung.
Jelasnya, kerana itu ceramah-ceramah PN dibuat secara ‘live’ supaya orang ramai dapat mendengar secara langsung maklumat yang ingin disampaikan pimpinan parti itu tanpa disunting.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam program Ceramah Isu Semasa ‘Benarkah Janji Ditunaikan’ yang berlangsung di PASTI Ar-Rahim, Taman Cheng Jaya, di sini malam kelmarin dahulu.
Bakri turut berkongsi bagaimana seorang imam dari sebuah masjid di dalam kawasannya yang memarahi beliau kononnya kerana beliau dikatakan mengherdik Perdana Menteri secara biadab di Dewan Rakyat.
“Saya kata pada imam itu dia tahu daripada mana? (Imam itu menjawab) Daripada TV. Saya kata pada dia ‘jangan tengok TV, tengok _Youtube_ sebab _Youtube_ tu disiarkan penuh.
“Kalau TV dia potong-potong. Kalau tuan-tuan tengok _TikTok_ pun sama, dia potong-potong macam tu,” katanya yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka.
Tambah beliau perkara yang sama berlaku terhadap isu pembacaan doa Qunut Nazilah melibatkan Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Katanya, akibat tidak mendapat maklumat yang lengkap menyebabkan sesetengah pihak memberikan komen negatif terhadap kejadian tersebut.
“Tok Guru Ahli Parlimen Jasin, bila baca Qunut Nazilah tak sebut langsung parti PAN, parti DAP atau parti PKR, tak sebut langsung. Saya hadir dalam tu, saya ada, saya dengar, tak sebut langsung.
“Yang kita sebut kita berlindung kepada Allah daripada apa daripada mereka-mereka yang memusuhi Islam dan juga Zionis. Yang kamu jadi takut kenapa?” soalnya.
Turut berucap di dalam program yang menampilkan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail serta Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Bahagian BERSATU Tangga Batu, Ramlan Meon. – HARAKAHDAILY 29/7/2024











