Wiro tidak minat jejaki kawan kerja kilang di Kuala Lumpur

- Advertisement -

GUA MUSANG: Wiro Sable, 26 seorang anak muda dari Pos Pulat di pedalaman Gua Musang tidak berminat meninggalkan kampung untuk mencari rezeki di kota raya.

- Advertisement -

Baginya tinggal di kampung lebih seronok kerana di kelilingi hutan dan ladang yang masih menghijau.

“Damai duduk di sini. Hendak makan pun mudah tidak perlu beli seperti orang tinggal di bandar. Pucuk ulam ulaman masih banyak di sekeliling rumah kita,” katanya ketika ditemui di penempatan tersebut semalam.

Wiro Sable

Perjalanan ke Pos Pulat dari bandar Gua Musang mengambil masa hampir dua jam memggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Namun, bagi penduduk Orang Asli mereka hanya mengambil masa sejam setengah menunggang motosikal ke bandar Gua Musang.

Ketika perjalanan kami menggunakan pacuan roda di jalan berbatu dan berlubang, penduduk Orang Asli melintas dengan mudah menunggang motosikal.

Laluan berbukit dari Ladang Sungai Terah ke Pos Pulat melintas tapak projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri. Pembinaan sedang rancak dijalankan. Kenderaan berat boleh ditemui di sepanjang perjalanan.

Bagi penunggang motosikal mereka terpaksa menempuh debu yang berterbangan di segenap ruang ketika berselisih dengan kenderaan lain.

Wiro sekali sekala datang ke bandar Gua Musang untuk menjual ikan yang ditangkap di Sungai Nenggiri.

“Hasil jualan ikan tersebut saya beli beras dan keperluan dapur lain untuk dibawa pulang,” katanya yang juga bekerja menoreh di kebun seluas seekar milik keluarga.

Menurutnya juga seramai 30 anak muda di penempatan itu berhijrah dan bekerja di kilang di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu.

Namun, Wiro tidak berminat menjejaki langkah kawan kawan tersebut kerana baginya jiwa lebih tenteram tinggal di kampung di keliling hutan belantara. – HARAKAHDAILY 28/7/2024

- Advertisement -