Himpunan aman, berbeza era Reformasi 1.0

- Advertisement -

TAMBUN: Himpunan aman ‘Mahkamah Rakyat Hukum Anwar’ hari ini berlangsung tanpa keganasan tidak seperti himpunan pada ‘era Reformasi 1.0’ suatu ketika dahulu.

- Advertisement -

Pengerusi Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, himpunan yang dilakukan itu malah mematuhi keperluan dalam Akta Perhimpunan Aman.

“Apa yang kita lakukan hari ini bukan menjatuhkan kerajaan secara revolusi. Itu tidak berlaku hari ini. Apa yang kita lakukan hari ini adalah menyampaikan suara rakyat melalui lunas-lunas demokrasi.

“Himpunan hari ini adalah satu himpunan yang aman. Ada kita terbalikkan kereta? Ada kita cederakan pegawai polis? Ada kita tendang pegawai trafik? Ada kita baling batu kepada wartawan? Tidak ada,” katanya sewaktu berucap di dalam program tersebut usai penyerahan ‘Memorandum Mahkamah Rakyat Hukum Anwar’ yang berlangsung di hadapan Pusat Khidmat Parlimen Tambun di Bandar Meru Raya, di sini, petang tadi.

Jelas beliau, perhimpunan itu adalah perhimpunan aman dan menepati apa yang pernah digubal oleh kerajaan terdahulu dalam Akta Perhimpunan Aman.

“Inilah semangatnya, supaya kita semua rakyat boleh menyampaikan suara kita berhimpun dengan hak yang diberikan oleh Perlembagaan kita secara aman tanpa menyusahkan sesiapa,” katanya lagi.

Tambahnya, himpunan itu juga adalah manifestasi daripada kesukaran yang dirasakan rakyat sepanjang 18 bulan kebelakangan ini.

“Yang berada di hadapan saya, saya percaya tuan-tuan dan puan-puan turun hari ini berpanas, kalau hujan sanggup berhujan, sebab 18 bulan daripada dulu sampai hari ini kita semua kehidupan kita makin susah.

“Harga barang makin naik; poket kita makin tipis; cukai bertambah; saman pun bertambah. Maksudnya kehidupan kita betul-betul susah,” katanya.

Tambahnya, hanya mereka yang berada dalam lingkungan kerajaan sahaja yang sedang menikmati kesenangan hidup pada masa kini.

“Kita telah menyampaikan, saya saudara Rafique tadi dan Saudara Irwan telah menyampaikan apa yang kita panggil tuntutan kita kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga hukuman, senaraikan kesalahan-kesalahan dan kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Para peserta berhimpun di satu lokasi berhampiran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun dan mula bergerak menuju ke pusat khidmat itu sekitar jam 3.45 petang.

Sebaik berkumpul di hadapan pusat khidmat tersebut wakil-wakil peserta yang hadir mula menyampaikan ucapan di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang lengkap dengan pembesar suara.

Pemidato-pemidato adalah daripada beberapa NGO yang mewakili pelbagai bidang kehidupan rakyat antaranya veteran angkatan tentera, guru, mahasiswa, para peniaga selain tokoh-tokoh politik.

Sekitar jam 4.43 petang memorandum mula dihantar kepada pihak Pusat Khidmat Parlimen Tambun dan menjelang 4.53 penyerahan selesai dilakukan. – HARAKAHDAILY 27/7/2024

- Advertisement -