
ARAU: Pusat Sehenti (One Stop Center) Bukit Temiang diwujudkan bagi menyokong peniaga tempatan, demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Razali Saad.
Menurutnya, penduduk yang mempunyai produk untuk dipasarkan boleh memanfaatkan pusat ini sebagai platform bagi memperkenalkan dan menjual produk mereka.
“Kita ada ‘one stop center’ di Bukit Temiang untuk letak produk di sana dan kita akan buka lagi satu di Ulu Pauh, insyaAllah. Produk-produk yang ada boleh diletakkan di sana,” ujarnya.
Razali berucap demikian sempena program Libat Urus bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Simpang Empat, di sini semalam.
Lebih 50 peniaga tempatan hadir bagi menyuarakan masalah yang mereka hadapi secara langsung dan membincangkan perkara berkaitan premis dan promosi jualan di sini.
Yang Di Pertua MPK, Affendi Rajini Kanth dan Pengarah FAMA Negeri, Mohd Anzara Azizan turut turun padang untuk mendengar sendiri keluhan rakyat.
Razali menekankan bahawa melalui program sebegini, segala masalah dapat diselesaikan dengan baik demi memberikan keselesaan kepada penduduk setempat. – HARAKAHDAILY 26/7/2024













