Arak: KPM perlu bertindak tegas langgar garis panduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu penajaan syarikat arak kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baru-baru ini menunjukkan perlunya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran garis panduan oleh institusi pendidikan.

- Advertisement -

QgenAnalysts berkata, KPM diharapkan memperketatkan polisi untuk melindungi kesejahteraan pelajar dan memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat dan sesuai untuk pembangunan mereka.

“Sentimen masyarakat yang kuat menunjukkan kepentingan penguatkuasaan yang konsisten bagi menjaga integriti dan imej institusi pendidikan di Malaysia,” ujar badan penyelidikan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, isu itu tular sejak 18 Julai di media sosial mengenai kehadiran Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Konsert Amal Pendidikan yang diadakan di SJKC.

Ujarnya, kontroversi timbul kerana salah satu penaja adalah syarikat arak, yang bertentangan dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 daripada KPM.

Pekeliling itu, jelasnya menggariskan panduan penganjuran program serta penerimaan sumbangan, melarang sumbangan dari aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya.

Menurutnya, isu itu mendapat reaksi negatif di ketiga-tiga platform media sosial utama, dengan 41,000 komen terkumpul.

Tambahnya, TikTok mencatatkan jumlah komen tertinggi dengan 64 peratus, menunjukkan perhatian serius terhadap isu itu sementara Facebook mencatatkan 26 peratus, manakala X (dahulu dikenali sebagai Twitter) hanya 10 peratus.

“Analisis AI menunjukkan 99 peratus netizen di Facebook, 95 peratus di TikTok, dan 60 peratus di X menyatakan rasa tidak senang mereka,” ujarnya.

Katanya, komen-komen netizen kebanyakannya membantah promosi arak di sekolah, dengan kebimbangan bahawa ia mungkin membuka jalan kepada penaja dari syarikat judi, rokok, dan vape di masa hadapan.

“Mereka juga merasakan kurangnya ketegasan dari Menteri Pendidikan mahupun Menteri Kesihatan dalam menangani isu yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani,” katanya.

Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam kenyataan media yang dipetik QGenAnalysts menegaskan KPM perlu bertindak tegas terhadap institusi pendidikan yang melanggar garis panduan penerimaan sumbangan.

Presiden MBM menyatakan, penerimaan dana dari syarikat arak boleh memberikan persepsi negatif dan mencalarkan imej sekolah sebagai tempat pembinaan sahsiah dan akhlak generasi muda. – HARAKAHDAILY 25/7/2024

- Advertisement -