KDN FC ll bangkit selepas hampir kecundang di laman sendiri

Khairan Eroza Razali
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Darulnaim FC ll (KDN FC ll) masih lagi mendahului carta apabila mengumpul 16 mata pada saingan Piala MFL 2024/25.

- Advertisement -

KDN FC II memungut mata penuh malam tadi apabila mengatasi Penang FC dengan jaringan 3-2 pada saingan keenam di laman sendiri.

Ketua Jurulatih, Khairan Eroza Razali berkata, pada perlawanan itu pemain KDN FC II menunjukkan semangat juang tinggi sehingga memberi persembahan 150 peratus untuk bangkit mengatasi pasukan pelawat.

“Syukur Alhamdulillah kemenangan malam tadi. Perlawanan itu agak kurang memuaskan namun pemain ‘all out’ mempamer 150 peratus semangat juang,” katanya di sini.

Piala MFL merupakan Liga Simpanan Bawah-23 2023 bagi Liga Super Malaysia.

KDN FC II masih berada di atas carta diikuti JDT II yang mengumpul 12 mata dan ketiga KLCE juga mendapat 12 mata.

Khairan juga tidak menduga Penang FC mempamerkan persembahan yang baik sehingga berjaya mendapat dua jaringan sehingga pasukan tuan rumah bekerja keras.

Katanya juga pemain KDN FC II tidak bermain baik pada awal perlawanan menyebabkan skuad kendalian Manzoor Azwira sekelip mata memanfaatkan peluang yang diperolehi.

“Selepas mendapat semula rentak, pemain muda Sang Kijang Emas kembali mendominasi sekali gus menjaringkan gol penyamaan.

“Saya memuji persembahan kapten pasukan, Muhammad Syahir Ab. Rashid kerana begitu cemerlang membantu rakan sepasukan menjaring gol kemenangan ketika perlawanan berbaki empat minit,” ujarnya.

Pada aksi mendebarkan IV itu penyerang muda kebangsaan, Muhammad Alif Ikmalrizal meletakkan Penang FC mendahului KDN FC II sebelum dipadam oleh Wan Mohd Fazli Ghazali, Ahmad Amjad serta Muhammad Aqif untuk mengekalkan penguasaan KDN FC II di kedudukan pertama carta Piala MFL. – HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -