Kayuhan Peduli santun penduduk DUN Guar Sanji

- Advertisement -

ARAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim menggunakan pendekatan mengayuh basikal untuk meninjau masalah dan bertemu penduduk dalam kawasannya.

- Advertisement -

Beliau yang akrab disapa Ustaz Wan, telah bersama Pemuda PAS dan Perpaduan Ummah DUN Guar Sanji menyantuni enam keluarga dalam program Kayuhan Peduli siri ketiga di Kampung Che Ok Tengah dan Kampung Permatang Serdang, di sini semalam.

“Alhamdulillah, untuk siri ke-tiga ini kita dapat menyantuni enam buah keluarga di sekitar dua kampung ini. Selain dapat merasai sendiri kesusahan rakyat, kita juga dapat menjaga kesihatan badan, insyaAllah,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau menekankan bahawa melalui program sebegini, secara tidak langsung pihaknya dapat mengetahui dengan lebih dekat keadaan dan keperluan dihadapi oleh penduduk setempat yang memerlukan bantuan.

Turut hadir untuk mengiringi dan memandu arah jalan adalah Ketua Cawangan Permatang Serdang, Hasan Ishak dan Setiausaha Kampung Permatang Serdang, Zainal Mat Khir.

Sebelum ini, pada 26 Jun lalu, Ustaz Wan bersama Pengurus Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Belat, Sobhi Othman dan MPKK Chermai, Jasmin Kasa, menyantuni beberapa keluarga dalam Program Kayuhan Peduli siri pertama.

Manakala pada 9 Julai pula, beliau bersama Pengurus MPKK Chantek Bangun dan Ketua Pemuda Kampung Tebuk, menyantuni keluarga-keluarga dalam Program Kayuhan Peduli siri kedua di Chantek Bangun dan Kampung Tebuk.

Ustaz Wan menjelaskan bahawa program tersebut merupakan sebahagian inisiatif untuk mendekati dan membantu komuniti tempatan secara langsung, sambil memperkasakan jalinan sosial kalangan penduduk Guar Sanji. – HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -