
GUA MUSANG: Kehadiran bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar di DUN Nenggiri sejak dua minggu lepas direbut peluang peneroka bagi meluahkan masalah mereka.
Tan Sri Annuar Musa berkata, ramai peneroka datang mengadu pelbagai masalah yang mereka hadapi. (Foto atas)
Katanya, keluhan peneroka Felda akhirnya disiar di media beberapa hari lepas sehingga menarik perhatian pelbagai pihak.
“Terdapat juga kelompok kecil kepanasan tak bertempat yang kemudiannya disuruh anak buah mereka buat komen yang lintang pukang daripada isu sebenar disuarakan peneroka.
“Bagaimanapun saya rasa syukur memandangkan ada sedikit komentar dari NGO Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF) yang memberi pandangan positif,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Annuar yang juga Pengarah Operasi PAS PRK Nenggiri berkata, beberapa bahagian dalam Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok),1960 GSA perlu dipinda.
Selain itu kata beliau wujud masalah pembinaan rumah generasi kedua dalam lot peneroka.
“Terbukti suara-suara yang dibawa peneroka itu perkara benar yang tidak harus diremehkan.
“Semalam dalam satu mesyuarat dengan pemimpin kerajaan negeri saya ketengahkan isu berkenaan. Saya faham isu itu memerlukan penelitian mendalam terutamanya berkaitan undang-undang.
“Alhamdulillah pimpinan negeri bersikap positif dan akan menyusuli isu terbabit. Itulah sikap yang baik ada pada pimpinan negeri Alhamdulillah,” katanya yang juga Presiden NGO Muafakat Nasional (MN). – HARAKAHDAILY 24/7/2024











