
ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) disarankan agar mewujudkan skim perlindungan insurans yang lebih efektif kepada para petani.
Pegawai Penyelidikan Yayasan Kedah Sejahtera (YKS), Muhammad Ehsan Shaari berkata, skim insurans itu mestilah dapat memberi perlindungan kepada sektor tanaman, perikanan dan juga penternakan secara sistematik, bukan hanya subsektor padi dan beras sahaja.
Menurutnya, Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang diperkenalkan oleh KPKM hanya memberi perlindungan kepada kemarau dan banjir sahaja, tetapi tidak termasuk kepada perlindungan wabak penyakit tanaman.
“Walaupun STTP akan memberikan pampasan yang lebih tinggi berbanding tabung bencana sedia ada, tetapi skim itu tidak memberi apa-apa pulangan kepada para petani yang menghadapi kerugian akibat wabak penyakit tanaman yang datang secara tiba-tiba,” jelasnya dalam kenyataannya di sini.
Berbeza katanya, dengan Skim Insurans Tanaman Agromakanan (SITA) yang diperkenalkan pada 2021 oleh Menteri Pertanian, Datuk Dr Ronald Kiandee pada ketika itu.
SITA beritahunya, lebih kepada mengurangkan implikasi kewangan akibat bencana seperti banjir, kemarau dan wabak penyakit berbanding STTP yang hanya memberi perlindungan kepada kemarau dan banjir sahaja.
“Tetapi agak malang, SITA tidak dapat dilaksanakan berikutan ‘kekalutan’ politik tanah air ketika itu, kemudian berlaku perubahan kerajaan, tetapi diangkat semula oleh Menteri PKM, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan nama dan kaedah yang berbeza.
“Walaupun perbezaan antara SITA dan STTP tidaklah begitu ketara tetapi STTP tidak menyeluruh kepada beberapa perkara berkaitan petani. Selain itu STTP adalah skim takaful, sementara SITA yang diperkenalkan dahulu adalah skim insurans,” tambah beliau.
Dalam keadaan cabaran yang dihadapi petani seperti perubahan cuaca dan lain-lain tegas Ehsan, petani wajar diberi perlindungan insurans dalam pelbagai perkara yang boleh menjejaskan pendapatan mereka selain risiko penyakit tanaman padi dan lain-lain.
Dalam pada itu katanya, KPKM sepatutnya mengekal item wabak penyakit tanaman supaya termasuk dalam senarai perlindungan di bawah STTP sepertimana ditawarkan SITA.
“Kita harap KPKM dapat mempertimbangkan cadangan ini dan seterusnya mempercepatkan proses mewujudkan skim insurans ini kerana dalam keadaan cuaca pada masa kini agak tidak menentu, selain dapat memberikan sedikit kelegaan kepada petani-petani yang terkesan.
“Malah bukan hanya subsektor padi dan beras sahaja, disarankan juga sektor tanaman, perikanan dan juga penternakan juga dimasukkan dalam skim perlindungan ini secara sistematik dan efektif,” tambah beliau.
Mengulas lanjut jelasnya, negara-negara utama pengeluar padi telah lama mewujudkan insurans bagi tanaman padi terutamanya negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina dan Thailand.
Walaupun ujar beliau, Malaysia sudah tertinggal di belakang, namun masih belum terlambat untuk memperkenalkan skim insurans pertanian yang sistematik dan efektif. – HARAKAHDAILY 23/7/2024











