
BELUMPUN sebulan dimandatkan penduduk sebagai ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail atau Abang Abidin seperti rutinnya tidak pernah diam dalam menjalankan tanggungjawab dipikulnya.
Beliau ternyata tidak betah hanya berada di Pusat Khidmat atau sekadar memenuhi undangan majlis-majlis, sebaliknya banyak menghabiskan masa turun dan bersama masyarakat di dalam DUN tersebut.
Benarlah kata orang, Abang Abidin merupakan kembar kepada bekas ADUN Sungai Bakap sebelum ini, Allahyarham Nor Zamri Latiff atau Abang Zam yang kembali ke rahmatullah pada 24 Mei lalu.
Malah harapan penduduk DUN Sungai Bakap menjadikan Abang Abidin legasi kepada Allahyarham Abang Zam juga menjadi kenyataan dari ‘KERJA’ dan khidmat yang disambung serta digiatkannya.
Sempena cuti hari minggu kelmarin, jadual harian beliau penuh beraktiviti bersama penduduk kampung menjayakan program Kacau Bubur Asyura yang diadakan empat tempat.
Majlis penuh meriah di Masjid Jamek Sungai Duri, Taman Panchor Utama, Pondok Sungai Bakap dan Surau As Sobirin, Taman Pekatra itu seolah-olah menjadi lanjutan kenduri merai kejayaan beliau yang mewakili PAS-Perikatan Nasional (PN).
“Terima kasih jemput saya untuk bersama-sama kacau bubur asyura ni. Sedap-sedap belaka bubur yang dimasak secara gotong-royong.
“Program sebegini sangat bagus untuk mengerat dan menghubungkan ukhwah sesama penduduk di dalam sesebuah komuniti,” kata beliau yang dimuat naik ke media sosialnya.


Selain itu, Abang Abidin, tidak lokek meluangkan masa menziarahi warga emas dan mereka yang sakit termasuk membantu pesakit yang memerlukan alat bantu seperti kerusi roda dan sebagainya.
Anak-anak muda antara yang membantu menyumbang kemenangan Abang Abidin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap, 6 Julai juga tidak dilupakan.
Beliau yang sememangnya mudah mesra dan berseloroh dengan siapa sahaja itu di mana-mana terdapat anak-anak muda beraktiviti pasti singgah sekejap termasuk melayan permainan mereka terutama sepak takraw.
Penduduk DUN Sungai Bakap juga beruntung kerana memiliki seorang wakil rakyat ‘ahli masjid’ dan sayangkan masjid serta mempunyai peranan dalam pentadbiran masjid terutama di kampungnya Sungai Duri.
Bukan sahaja sepanjang tempoh berkempen dahulu Abang Abidin menjelajah masjid-masjid bersekitaran dan solat jemaah bersama, malah selepas bergelar ADUN, amalan itu menjadi rutinnya hariannya.
‘Orang-orang masjid’ secara tidak langsung dapat bersua muka bersama wakil rakyat, malah dapat berbual serta bertukar fikiran dan mungkin juga menyuarakan hal ehwal kehidupan mereka. – HARAKAHDAILY 23/7/2024













