Pusat Penerangan Pelancongan bantu promosi TMK2025

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pusat Penerangan Pelancongan Alor Setar diwujudkan dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan, sekali gus mempromosikan negeri menjelang Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

- Advertisement -

Pusat Penerangan ini beeperanan memberi maklumat berkaitan Kedah khususnya kepada para pelancong dan mempromosikan pelancongan Kedah sejajar dengan TMK tahun hadapan

Penubuhan pusat ini juga sebagai langkah yang bijak bertepatan keperluan semasa terutama memperkenalkan Bandar Raya Alor Setar dan Negeri Kedah kepada para pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin telah menyempurnakan perasmian penubuhan pusat berkenaan di Medan Bandar, di sini semalam.

“Di Kedah ni, boleh dikatakan semuanya ada. Kalau di negara lain (Arab) ada gurun, Kedah pun ada Gurun. Walaupun Kedah tak ada salji tapi ada Lorong Kilang Ais.

“Tapi ini gurau saja (ketawa). Sebenarnya Pusat Penerangan Pelancongan ini akan berperanan mengenengahkan maklumat serta kawasan pelancongan Negeri Kedah kepada orang ramai sama ada dalam ataupun luar negeri, termasuk luar negara,” katanya lagi.

Justeru Dato’ Salleh yang juga ADUN Kubang Rotan mengharapkan pusat tersebut dapat berperanan sebaiknya serta menyediakan maklumat yang tepat termasuk mengenai perniagaan dan perkhidmatan yang ada di negeri ini.

Dalam pada itu persiapan TMK2025 yang akan dilancarkan pada Ogos depan maklumnya sedang giat dijalankan sama ada di peringkat kerajaan negeri mahupun agensi-agensi berkaitan.

Berikutan itu ujar beliau, Kedah Tourism ditubuhkan semula sebagai penggerak utama bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini.

“Kedah mempunyai keindahan serta keunikannya tersendiri dalam  pelbagai  aspek, termasuklah alam semulajadi, budaya, makanan serta hospitaliti masyarakat setempat, sejajar dengan frasa ‘Experience Kedah’ yang akan menjadi tema TMK2025 nanti.

“Oleh itu semua pihak diharapkan dapat memberi kerjasama memastikan aspek kebersihan dan keindahan, sentiasa berada pada  tahap terbaik dan menjadikannya agenda penting di setiap daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Jadikan kebersihan dan keindahan bandar serta desa di negeri ini sebagai salah satu produk yang boleh menggamit kehadiran pelancong,”  kata beliau lagi.

Kerajaan negeri katanya, dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi serta sokongan para pemain industri bekerja keras membuat persiapan bagi memastikan TMK2025 bukan sahaja berjaya, tetapi juga meletakkan penanda aras baharu dalam industri pelancongan di negeri ini.

Hadir bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar, Dato’ Mohd Yusri Md Daud dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa serta Pengurus Besar Tourism Kedah, Azlizam Jaafar Sidik;

Juga Penolong Pengarah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Sharifah Natasya Adid dan Pengarah Tourism Malaysia Utara, Azman Syah Abdul Shukor. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -