
SEBELUM wujudnya zaman gajet, kanak-kanak dahulu menikmati pelbagai permainan tradisional yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyihatkan.
Antara permainan yang popular ialah lompat getah (zeropoint), main guli, galah panjang, congkak, batu seremban (batu selambut), kejar-kejar (aci ligan) dan sebagainya.
Permainan-permainan itu tidak hanya memberi keseronokan tetapi juga membawa pelbagai manfaat kepada perkembangan fizikal dan sosial kanak-kanak.
Bermain zeropoint misalnya, melibatkan banyak aktiviti melompat yang baik untuk kesihatan jantung dan otot.
Main guli pula melatih koordinasi mata dan tangan serta keterampilan motorik halus.
Lebih penting lagi, permainan tradisional menggalakkan interaksi sosial dan membina hubungan yang erat antara kanak-kanak.
Mereka belajar bekerjasama, berkomunikasi, dan membina semangat berpasukan.
Tidak seperti permainan gajet yang sering membuat kanak-kanak terperuk dalam bilik dan hanya bermain dengan dunia sendiri, permainan tradisional mengajak mereka keluar dari rumah, berinteraksi, dan menikmati udara segar.
Selain itu, permainan seperti galah panjang dan aci ligan mengajar kanak-kanak terhadap kepentingan strategi dan ketangkasan.
Permainan tersebut memerlukan mereka berlari, mengelak, dan menangkap, yang semuanya baik untuk perkembangan fizikal dan mental.
Congkak dan batu selambut pula melatih daya tumpuan dan ketepatan.
Kedua-dua permainan demikian memerlukan kanak-kanak untuk berhitung dan membuat keputusan cepat, membantu dalam perkembangan kognitif mereka.
Kesimpulannya, permainan tradisional membawa banyak manfaat yang tidak dapat digantikan oleh permainan digital.
Selain daripada menyihatkan tubuh badan, ia juga mengeratkan hubungan sosial dan membantu dalam perkembangan keseluruhan kanak-kanak.
Oleh itu, adalah penting untuk kita terus menggalakkan kanak-kanak masa kini untuk mengenal dan memainkan permainan tradisional ini, agar warisan budaya ini terus hidup dan memberi manfaat kepada generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 22/7/2024












