
MARANG: Kerajaan Persekutuan tidak wajar membandingkan perbelanjaan pembangunan yang disalurkan ke Terengganu mengikut tahun.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana projek di bawah perbelanjaan pembangunan memerlukan masa yang panjang dan tidak dapat dinilai dalam tempoh masa yang singkat.
“Ada yang perbelanjaan pembangunan atau development expenditure ini kerana projek-projek tertentu makan masa lima tahun ada yang bermula 2016, 2017.
“Itu semua zaman sebelum (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Jadi kalau kita hendak kira dari segi perbelanjaan pembangunan ada yang lama-lama tertumpu pada tahun ini umpamanya, jadi tidak begitu adillah,” katanya di sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peruntukan pembangunan di Terengganu yang meningkat kepada RM7.23 bilion pada tahun ini berbanding RM5.99 bilion pada 2022.
Anwar dilaporkan berkata, ia membabitkan projek negeri dan Persekutuan sekali gus menunjukkan dakwaan kerajaan Persekutuan menyekat peruntukan untuk Terengganu tidak benar.
Kata Samsuri, kerajaan negeri menghargai segala peruntukan yang disalurkan untuk perbelanjaan pembangunan melalui Rancangan Malaysia, rolling plan dan inisiatif kementerian.
“Kita tidak nafikan, kita ucapkan terima kasih banyak-banyak. Yang dipersoalkan oleh pentadbiran kerajaan dan juga rakyat negeri adalah berkenaan dengan perolehan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau yang kita panggil di negeri Terengganu sebagai royalti.
“Yang itu yang kita persoalkan, ia berbeza antara perbelanjaan pembangunan daripada rolling plan dan daripada Rancangan Malaysia dan dan aktiviti kementerian dengan pendapatan daripada hasil royalti atau DKKP atau Wang Ehsan,” katanya.
Mengulas mengenai tuntutan hasil royalti, beliau berkata, kerajaan negeri diminta mengemukakan tuntutan berdasarkan program dan keperluan kewangan.
“Masih lagi diambil pendekatan yang sama iaitu claim berdasarkan kepada permohonan kadangkala berbelas permohonan, 10 permohonan, enam lulus empat tak lulus.
“Kita rayu pula tambah lagi dengan permohonan baru itulah yang sedang kita laksanakan dari bulan ke bulan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2024











