
KOTA BHARU: Seramai 200 penggemar basikal klasik yang tampil dengan pelbagai tema dengan membuat kayuhan sekitar bandar ini sejauh 15 kilometer semalam menjadi tarikan orang ramai.
Peserta tersebut menggayakan uniform anggota bomba, tentera, kelasi, polis dan posmen yang menjadi kenderaan penting ketika menjalankan tugas di zaman era 50-an dan awal 60-an menyebabkan warga bandar begitu teruja.
Menariknya program yang dilepaskan di Dataran Rehal itu bukan hanya disertai masyarakat tempatan, tetapi juga dari Singapura, Thailand serta Indonesia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor ketika dihubungi berkata, program julung kali diadakan itu amat wajar diteruskan kerana ia menjadi nostalgia khususnya bagi mereka yang terlibat menggunakan basikal klasik itu.
Pada masa yang sama, menurutnya, ia dapat memberi maklumat pada golongan muda hari ini yang tidak pernah menyaksikan situasi itu.
“Penganjuran program ini cukup bermakna sekali khususnya ketika Tahun Melawat Kelantan 2024 ini,” katanya.
Program Festival Basikal Klasik Antarabangsa Malaysia (MICBF) 2024 itu dianjurankan bersama Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) sempena Tahun Melawat Kelantan 2024. – HARAKAHDAILY 21/7/2024











