Sultan Ibrahim akan memerintah dengan adil dan saksama

Foto daripada Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan jujur, ikhlas dan adil serta penuh timbang rasa kepada semua rakyat jelata demi menjaga kesejahteraan dan kedaulatan negara.

- Advertisement -

“Terlebih dahulu saya ingin menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang telah memberikan kepercayaan dan penghormatan kepada saya untuk memikul amanah dan tugas sebagai ketua negara.

“Insya-Allah, saya akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan jujur dan ikhlas, dan memerintah dengan adil dan saksama serta penuh timbang rasa kepada semua rakyat jelata, demi menjaga kesejahteraan dan kedaulatan negara,” titah Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan istiadat pertabalan hari ini serta semua majlis yang dianjurkan.

“Akhir kata, marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga negara Malaysia akan terus maju dan makmur, serta seluruh rakyatnya kekal hidup bersatu-padu, aman sentosa dan bahagia,” titah Seri Paduka Baginda.

Laungan ‘Daulat Tuanku’ dan tembakan meriam 21 das bergema di Istana Negara menandakan penyempurnaan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini mengetuai laungan ‘Daulat Tuanku’ di dalam Balairung Seri, manakala tembakan meriam dilepaskan sejurus Sultan Ibrahim menyempurnakan lafaz ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. – HARAKAHDAILY 20/7/2024

- Advertisement -