
TERIMA kasih kepada jentera Ulamak Terengganu yang membantu kemenangan Perikatan Nasional, PN di Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap baru-baru ini. Kemenangan itu menyebabkan Speaker Dewan Rakyat tidak berani isytihar kerusi kosong di 6 kerusi lain.
Dewan Ulamak PAS Terengganu berada di fasa baru, iaitu sifar pembangkang. Ia adalah isyarat dari rakyat. Tunaikan kewajipan dengan bersungguh.
Kita perlu berbeza dengan Umno selaku kerajaan sebelumnya. Saya ingatkan supaya:
1. Jangan dibina kekayaan peribadi di atas jawatan yang diamanahkan. Sekiranya beliau dari awal bekerja, berniaga, itu lain.
2. Jangan bina kelompok dalam jemaah selepas menang. Tan Sri Annuar Musa pernah sebut: “saya berada dalam PAS menyaksikan ukhuwwah, tidak seperti Umno”. Semua yang ada dalam jemaah adalah rakan seperjuangan.
3. Jangan zalimi rakyat. Ulamak mesti jadi pemerhati, pemantau supaya ulamak pastikan perjalanan pemerintahan negeri dan keaslian perjuangan. Umno dulu pernah jadi kerajaan tetapi mereka pernah menzalimi rakyat dalam pelbagai bentuk. Umno dahulunya sangat memilih warna. Rekod pemerintahan PAS Terengganu Alhamdulillah baik terhadap rakyat sepanjang 2018-2023.
4. Tunaikan harapan tinggi dari rakyat. PAS Terengganu telah laksanakan manifesto dalam Piihan Raya Umum yang lepas.
5 Tegakkan syariat. Tugas Dewan Ulamak perlu teliti apa yang perlu ditambah-baik untuk pemerintahan dan perlaksanaan syariah di peringkat pentadbiran negeri.
Arahan Tuan Guru Presiden kepada ulama dalam Liqa Fikri baru-baru ini. Antaranya, Dewan Ulamak mesti pesan masyarakat supaya ada jati diri, hadapi serangan pemikiran seperti Islam liberal dan lain-lain, hilang identiti agama dan jahil tentang Islam.
Ulama mesti memimpin ummah, selamatkan ummah dari pelbagai kemelut dan masalah.
Faham liberal berkembang pesat di Barat. Ulama sangat penting main peranan beritahu masyarakat tentang fahaman liberal.
Dahulu, penjajah cuba mengkristiankan rakyat. Portugis, Belanda dan lain-lain gagal merosakkan aqidah kerana perjuangan ulama terdahulu.
Dewan Ulamak mesti berwatak pendamai. Perbalahan di luar jangan dibawa ke dalam parti yang menyebabkan perpecahan parti.
Kita akan kukuhkan AKIFI- alim, haraki, sufi. Dewan Ulamak perkenalkan, muslimat ambil buat munajat AKIFI. Tidak ada masalah. Dewan Ulamak PAS Pusat cadang mengadakan program diploma AKIFI. Ini satu produk baru. Ada 20 subjek yang perlu difahami.
Sebagai ulama yang diberi amanah ilmu dalam Dewan Ulamak, kita pikul tanggungjawab ini secara bersama dan tingkatkan keyakinan diri kepada Allah. Kita mengambil iktibar dari peristiwa hijrah Nabi di mana Nabi janjikan gelang Kisra kepada Suraqah bin Malik.
Allah berfirman:
وَالَّذِيْنَ جَاهَدُوْا فِيْنَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَاۗ وَاِنَّ اللّٰهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِيْنَ
Maksudnya: “Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang yang berbuat baik.” (Al-Ankabut: 69) – HARAKAHDAILY 20/7/2024
Petikan ucapan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Saad @ Yahaya semasa merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Terengganu di Kompleks Tarbiah Luqmanul Hakim, Setiu pada Sabtu, 20 Julai 2024.











