
KUANTAN: Lebih 300 orang petugas PAS Kawasan Paya Besar menyertai Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan motto ‘Gegar Pahang, PAS Teraju Pahang’, semalam.
Mereka turut melaungkan slogan ‘3 Kukuh 1 Ditawan’ dalam program yang diadakan di Dewan Seminar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Darus Salam, Permatang Badak.
Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya dalam ucapannya menyuntik semangat jentera pilihan raya menuju PRU16 dengan memberi beberapa panduan serta tips berguna kepada jentera.
Katanya, sepanjang gerak kerja menghadapi PRU16, komitmen ahli dan jentera sangat diharapkan di samping dana yang mencukupi.
Tambahnya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, kehadiran ahli di dalam program-program kawasan, cawangan perlu diberi perhatian.
Selain itu, ujarnya, Tabung PRU16 PAS Paya Besar perlu diisi dan dipenuhkan kerana ia merupakan ‘amanah’ yang perlu dilaksanakan bukan sahaja kepada setiap ahli tetapi beliau sendiri selaku teraju utama kawasan.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih As Shubrawi yang merasmikan program itu berkata, semangat jihad yang tinggi perlu dipupuk sedari awal bagi menghadapi pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum.
Ini ujarnya kerana persediaan yang cukup dapat menjadikan kemenangan lebih bermakna.
Program malam itu telah diakhiri dengan bacaan ikrar sebagai gimik pelancaran jentera disempurnakan Setiausaha PAS kawasan, Nazim Maarof dan sebelumnya serahan panji-panji PAS kepada setiap wakil UDM sebagai simbolik ‘gerak gempur’ PRU16 bermula.
Kawasan Parlimen Paya Besar diwakili tiga Ahli Dewan Negeri (ADN) daripada Perikatan Nasional iaitu Sungai Lembing dan Panching daripada PAS dan Lepar (Bersatu). – HARAKAHDAILY 20/7/2024












