Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong jadi tumpuan

Foto daripada Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia yang pastinya teruja untuk menyaksikan kemeriahan istiadat tersebut yang hanya diadakan setiap lima tahun di Istana Negara.

- Advertisement -

Peristiwa bersejarah hari ini menyaksikan penglibatan 377 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada cabang darat, laut dan udara.

Penglibatan tersebut yang memainkan peranan penting daripada sekecil-kecil tugasan sebagai pembuka pintu kenderaan diraja sehinggalah membentuk Kawalan Kehormatan Utama untuk mempersembahkan Hormat Diraja.

Oleh demikian, sebanyak 14 jalan di sekitar ibu kota ditutup secara berperingkat bermula jam 8 pagi tadi untuk acara Istiadat Pertabalan dan jam 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.

Penutupan jalan secara sementara itu bagi memberi laluan kepada tetamu-tetamu diraja melalui laluan tersebut dan sampai mengikut masa yang telah ditetapkan dan akan dibuka semula selepas melalui laluan berkenaan.

Jalan yang terlibat adalah Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail Lebuhraya Sultan lskandar, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah Selatan), Bulatan Dato Onn dan Jalan Parlimen.

Pertabalan jawatan ketua negara itu adalah salah satu daripada keunikan Malaysia yang tidak dimiliki oleh negara-negara lain.

Oleh demikian, kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dengan warisan yang dimiliki dan dalam masa sama sentiasa berusaha mempertahankannya. – HARAKAHDAILY 20/7/2024

- Advertisement -