
KUALA TERENGGANU: “Durian kampung Terengganu bakal ke pasaran global,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.
Ini susulan petang tadi satu sesi pertemuan dan dialog antara kerajaan negeri, delegasi Syarikat Vanton International Sdn Bhd dan Mia Nafas Sdn Bhd bersama pekebun durian kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut.
Beliau berkata, agendanya ialah Syarikat Vanton yang beribu pejabat di Shenzen, China hendak membawa durian kampung dari Terengganu ke pasaran negara itu.
“Kerajaan negeri berperanan sebagai pemudah cara. Bukan Musang King dan bukan Duri Hitam. Hanya durian kampung dari kebun milik orang kampung,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Kaedahnya, kata beliau pihak syarikat akan memetik buah durian dengan tahap kematangan sekitar 70 peratus masak.
Jelasnya, kemudian buah durian akan dieksport ke China secara segar, bukan dengan kaedah pembekuan seperti buah MK.
Menurutnya, Syarikat Vanton International adalah antara pengeksport buah-buahan terbesar di China. – HARAKAHDAILY 20/7/2024











