
AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat selama enam bulan. Puncanya kerana pendedahan yang dibuat berkaitan seorang individu yang dikatakan dalang kepada penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada GIP-BlackRock.
Dalam pendedahan tersebut beliau telah mengemukakan satu maklumat yang beliau sendiri gelar sebagai ‘surat layang’ di mana dihantar oleh pihak yang dipercayai sebagai kakitangan KWSP mendedahkan perkara tersebut.
Lalu kita boleh lihat di media-media sosial banyaklah pihak-pihak yang mempersendakan perkara ini dengan melabel bahawa Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional menggunakan ‘surat layang’ sebagai hujah di dalam Parlimen.
Mereka cuba meletakkan persepsi bahawa Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional bercakap dengan menggunakan sumber berstatus ‘sampah’.
Sebenarnya mereka yang berkata demikian melakukan kesilapan yang besar dengan merujuk ‘surat layang’ sebagai satu sumber ‘sampah’ dan bertaraf rendah.
Surat layang bukan sumber ‘sampah’. Surat layang hakikatnya diiktiraf sebagai salah satu sumber awal pendedahan sesuatu penyelewengan yang berlaku di dalam sesuatu organisasi.
Jika kita rujuk pada ilmu pengurusan, kita akan berjumpa dengan satu istilah yang dipanggil ‘whistleblower’ (peniup wisel) atau dalam istilah Melayunya dipanggil ‘pemberi maklumat’.
‘Whistleblower’ ini akan mendedahkan sesuatu kepincangan yang berlaku dalam sesuatu organisasi sama ada secara terbuka, ataupun secara sulit.
Sesetengah ‘whistleblower’ yang mempunyai kekuatan atau keberanian dan sanggup menanggung risiko akan membuat pendedahan secara terbuka atau melaporkan sendiri kepincangan itu kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.
Sesetengah ‘whistleblower’ yang tidak mempunyai keberanian atau kekuatan akan mendedahkan sesuatu penyelewengan itu secara menyebarkannya tanpa mendedahkan namanya sebagai pemberi maklumat sama ada secara fizikal atau secara dalam talian dalam bentuk surat layang.
Sebenarnya pada masa kini banyak organisasi yang memandang serius terhadap surat layang. Memandang serius ini bukan bermaksud akan mengambil tindakan kepada penulis surat layang, tetapi untuk mengambil tindakan dan menyiasat kandungan sesuatu surat layang tersebut.
Ini adalah berdasarkan hakikat bahawa bukan mudah untuk seseorang di dalam sesuatu organisasi untuk ke depan secara terang-terangan dan ada keberanian untuk mendedahkan kepincangan yang berlaku di dalam organisasinya sendiri.
Mereka berdepan pelbagai risiko kerana ada kemungkinan bahawa, bukan kepincangan itu yang akan diambil tindakan, tetapi pemberi maklumat itu yang akan berdepan tindak balas dari orang atasan kerana mendedahkan perkara itu. Ia akan menyebabkan mereka akan diambil tindakan dan mendapat kesusahan.
Ini adalah kerana dalam isu-isu sebegini, biasanya kepincangan itu dilakukan oleh orang atasan organisasi itu sendiri. Atau pun orang atasan organisasi itu melindungi kegiatan salah itu atau orang yang melakukan kesalahan itu.
Kerana itulah, dalam erti kata lain, sekiranya sesuatu organisasi itu menetapkan bahawa sebarang pendedahan berhubung maklumat mestilah secara rasmi dan menyatakan nama pengadu dan tidak akan mengambil tindakan tanpa maklumat pengadu, organisasi itu secara terancang sebenarnya sedang cuba melindungi kepincangan yang sedang berlaku dalam organisasinya.
Kita boleh lihat sekiranya kita ada maklumat berkenaan kejadian rasuah kita boleh memberikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara dalam talian di laman sesawang mereka tanpa perlu mendedahkan nama anda sebagai pengadu.
Begitulah Wan Fayhsal. Beliau telah melakukan tindakan yang betul dengan mendedahkan maklumat surat layang yang beliau terima itu dalam Persidangan Dewan Rakyat sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen.
Sewajarnya pihak kerajaan menyiasat perkara itu secara teliti, takut-takut kejadian itu memang benar-benar berlaku. Malah apa yang didedahkan oleh Wan Fayhsal itu adalah sesuatu yang sangat serius sekiranya perkara itu benar-benar wujud!
Paling tidak pun sebelum mengambil tindakan mengusulkan agar Wan Fayhsal digantung selama enam bulan, pihak kerajaan paling tidak pun memaklumkan kepada Parlimen bahawa siasatan telah dibuat dan didapati bahawa tuduhan itu tidak benar sama sekali. Barulah ada asas untuk mengambil tindakan kepada Wan Fayhsal.
Namun, sekiranya perkara itu memang benar berlaku, kita semua sedia maklum memang kerajaan berada dalam polisi cenderung untuk bekerjasama dengan GIP-BlackRock. Jadi memang kerajaan akan kemungkinan menyebelahi pihak yang didedahkan oleh Wan Fayhsal itu.
Apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Machang itu adalah untuk menjaga kepentingan negara dan kepentingan dan maruah umat Islam semata-mata. Tindakan yang dilakukan terhadap beliau adalah sangat kejam dan tidak wajar. Itulah nasib seorang ‘whistleblower’ di Negara Malaysia ‘bolehland’ ini. – HARAKAHDAILY 19/7/2024











