Speaker palit garis merah demokrasi berparlimen

Dr Zulkeflee Yaacob
- Advertisement -

KOTA BHARU: Keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul tidak mengosongkan kerusi enam bekas wakil rakyat Bersatu memalit garis merah terhadap demokrasi berparlimen di negara ini.

- Advertisement -

Pakar Penasihat Majlis Wanita, Keluarga dan Kabajikan Kelantan, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, situasi itu memperlihatkan laungan reformasi hanya sekadar slogan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Katanya, dalam bahasa mudah ia seakan menggambarkan sikap ‘hipokrasi’.

“Dengan mentafsir Ahli Parlimen bebas menyatakan sokongan menggambarkan Speaker membuat keputusan bertentangan dengan Akta Anti Lompat Parti.

“Kasus itu boleh ditafsir parti politik tidak boleh menentukan tindakan atas status wakil rakyatnya di Parlimen,” katanya di sini.

Baru-baru ini, Johari dilapor berkata, enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu mengosongkan kerusi.

Menurutnya perkara penting yang perlu dilakukan Ahli Parlimen berkenaan dengan menyatakan secara bertulis bahawa mereka masih kekal ahli parti terbabit.

Bagaimanapun Bersatu pada kenyataan sebelum ini menyatakan keahlian enam ahli parlimen terbabit gugur secara automatik selepas tidak menjawab surat menyatakan sokongan kepada parti terbabit. 

Enam Ahli Parlimen terbabit iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Dr Zulkeflee juga berkata, keputusan Speaker Dewan Rakyat membuka ruang ahli parlimen blok kerajaan menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan tidak gugur sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Johari mentafsir perlembagaan sesebuah parti politik yang dilihat bukan dalam konteks Speaker Dewan Rakyat seperti seorang posmen yang hanya membawa surat kepada destinasi bukan membuka dan membaca kandungannya.

“Apatah lagi menentukan individu bertukar parti kerana bidang kuasa itu di bawah mahkamah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/7/2024

- Advertisement -