‘Ringgit turun, saham turun, pelabur lari…’

Dato' Rosol Wahid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Senator Fuziah Salleh terhadap isu kos sara hidup menimbulkan persoalan seolah-olah bukan berada di bumi.

- Advertisement -

Dato’ Rosol Wahid (PN Hulu Terengganu) berkata, timbalan menteri seolah-olah tidak menyedari bahawa situasi kenaikan harga barang sekarang ini berada dalam situasi yang buruk.

“Tak tahulah timbalan menteri ini berada di planet lain barangkali. Diesel naik; SST naik; tarif elektrik naik.

“Yang turun, telur, alhamdulillah turun tiga sen Yang Dipertua. Ringgit turun; saham turun; pelabur lari; beras tempatan sampai sekarang ‘ghaibul ghuyub’,” katanya sinis.

Beliau berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan terhadap soalan asalnya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

“Apakah tindakan kerajaan berhubung dengan laporan UNICEF ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ yang mendapati majoriti isi rumah terbeban dengan kenaikan harga makanan. Lapan daripada 10 isi rumah bergelut untuk menjana pendapatan yang mencukupi bagi menampung keperluan asas hidup.

“90 peratus isi rumah terkesan dengan kenaikan kos sara hidup terutama harga makanan dan kira-kira 50 peratus menganggap kedudukan kewangan mereka semakin merosot,” ujarnya.

Beliau meminta timbalan menteri untuk menyatakan apakah tindakan kerajaan terhadap isu itu kerana rata-rata hari ini rakyat mengeluh dengan kenaikan harga barang yang mana penyasaran subsidi diesel dipercayai sebagai salah dari puncanya.

Sementara itu Fuziah ketika menjawab soalan tambahan itu berkata, mengaitkan kenaikan harga dengan penyasaran subsidi diesel dengan kenaikan cukai SST sebagai tidak wajar.

Menurutnya, kenaikan harga bukan hanya disebabkan oleh penyasaran subsidi diesel namun ada banyak faktor lain lagi.

Dalam soalan asalnya Rosol meminta Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyatakan impak rasionalisasi subsidi diesel terhadap harga barangan dan peningkatan kos sara hidup rakyat, yang mana pada masa sama pengguna terpaksa menanggung kesan peningkatan kadar cukai perkhidmatan dan kenaikan tarif elektrik serta air. – HARAKAHDAILY 16/7/2024

- Advertisement -