
KUALA LUMPUR: Kejadian tanah runtuh yang berlarutan selama dua tahun berhampiran Taman Lipat Kajang di Jasin kini telah menjadi sebuah ‘kawah gergasi’.
Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata, bermula daripada runtuhan kecil pada tahun 2022, kini runtuhannya sudah sedalam lebih 10 meter dengan keluasan lebih 3,000 meter persegi.
“Kejadian tanah runtuh ini telah mengancam lebih daripada 100 orang penduduk yang tinggal hampir dengan kawasan tanah runtuh itu yang tidak sampai 10 meter dari rumah mereka yang terdekat dengan tempat runtuhan tersebut
“Manakala jumlah penduduk pula di taman tersebut dalam anggaran 2,000 orang yang tidak mustahil juga akan terancam jika dibiarkan secara berterusan tanpa penyelesaian,” kata beliau.
Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian dalam sesi Kamar Khas Parlimen bagi membawa usul berkaitan masalah tersebut kepada Menteri Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Tambahnya, kawasan runtuhan itu juga telah menghampiri padang permainan di taman tersebut yang boleh membahayakan nyawa jika berlaku runtuhan lain secara tiba-tiba ketika ada kanak-kanak bermain di situ.
“Untuk makluman Yang Berhormat Timbalan Menteri, perkara ini telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Jabatan KerjaRaya (JKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan. Tetapi sehingga hari ini tiada penyelesaian yang konkrit daripada pihak-pihak berkenaan.
“Perkara ini juga telah dipanjangkan kepada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan sebanyak empat kali oleh MPJ, tetapi tiada penyelesaian dan jawapan yang benar-benar membantu untuk menyelesaikan masalah tersebut,” kata beliau.
Beliau amat berharap agar pihak kementerian dapat memberikan perhatian khusus dan penyelesaian yang sebenar kepada masalah tersebut agar dapat mengelakkan kemalangan yang berterusan sama ada kemalangan jiwa atau harta jika dibiarkan masalah ini berterusan tanpa tindakan yang sewajarnya.
Sementara itu Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu dalam jawapannya berkata, bagi isu-isu yang dibangkitkan itu, pihak Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan Majlis Perbandaran Jasin telah pun mengadakan lawatan ke tapak kejadian pada 20 Julai dan 5 Disember tahun lepas. – HARAKAHDAILY 15/7/2024











