
KUALA LUMPUR: Pindaan RUU Sumpah dan Ikrar perlulah memastikan bahawa keterangan kanak-kanak tidak dipengaruhi oleh ibu bapa.
Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berkata, ditakuti keterangan yang diberi oleh kanak-kanak walaupun akuan bersumpah atau ikrar itu disumpah dibuat tetapi mungkin dipengaruhi oleh ibu bapa sendiri.
“Menyebabkan keterangan yang diberikan oleh mereka ini adalah bercanggah dan mungkin kanak-kanak ini tidak mengetahui kesan dan akibat daripada apa yang disumpah ataupun diikrarkan menyebabkan akhirnya kanak-kanak ini akan mendapat kesan daripada mungkin keterangan yang diberikan itu tidak benar.
“Dan oleh kerana ingin menjaga orang kata waris ataupun hubungan dengan ibu bapa mereka menyebabkan memberi keterangan yang berbeza ataupun keterangan yang tidak betullah (di) mahkamah akhirnya mereka mendapat impak dan kesan di mana mereka mungkin dipenjarakan,” ujar beliau semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Selain itu, pindaan itu juga perlu memastikan mahkamah menyediakan fasiliti yang cukup antaranya menyediakan jurubahasa kepada kanak-kanak.
Menurutnya, ini adalah supaya kanak-kanak yang memberi keterangan ini memahami apakah maksud ikrar dan sumpah yang diberikan
“Dan mereka juga tidak terkeliru dengan lenggok bahasa mahkamah yang mungkin menyukarkan mereka memahami apa yang dikehendaki untuk mereka memberi keterangan.
“Saya rasa akta ini perlu dikuatkuasakan ataupun perlu diterima kerana ia juga memberi kesan kepada apa yang diberikan oleh kanak-kanak itu supaya mereka memahami ini bukanlah satu yang fantasi.
“Ataupun mereka mungkin pada ketika itu mereka agak mungkin rasa benda itu tidak meyakinkan mereka tetapi apabila ada akta ini mungkin mereka lebih yakin apa yang diberikan ketika itu mestilah sesuatu yang betul dan bukanlah fantasi bagi mereka.
“Mungkin sebab mereka ni adalah di bawah umur. Mungkin mereka sukar untuk membezakan antara fantasi dan fakta yang benar,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/7/2024











