
KUALA KEDAH: Keterbukaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menerima masuk pelajar 10A ke program matrikulasi perlu ada pertimbangan jelas, kata Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.
Jelasnya, KPM perlu mengimbangi kuota pelajar Melayu Bumiputera ke program tersebut supaya peluang pengajian mereka tidak terpinggir pada masa hadapan.
“Meskipun peluang pengajian di pusat matrikulasi kini terbuka kepada para pelajar yang melepasi syarat-syarat kelulusan, namun faktor kuota perlu diambil kira supaya hak Melayu Bumiputera tetap menjadi keutamaan,” katanya.
Pada 11 Julai lalu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan seramai 3,684 pelajar yang terdiri 2,496 Bumiputera dan 1,188 bukan-Bumiputera dipilih pada ambilan pertama untuk program matrikulasi.
Sementara seramai 400 pelajar cemerlang beritahunya, iaitu 33 Bumiputera dan 367 bukan-Bumiputera ditawarkan untuk ambilan kedua yang mula mendaftar pada 12 Julai.
Manakala baki 712 pelajar cemerlang SPM yang belum mendapat tawaran ke program matrikulasi akan ditawarkan selewat-lewatnya minggu ketiga Ogos depan.
Justeru kata Dr Ahmad, selain mengimbangi kuota antara Bumiputera dan bukan-Bumiputera, kapasiti pusat matrikulasi juga perlu komprehensif serta mampu menampung jumlah kemasukan para pelajar berkenaan.
“Jangan kerana jumlah meningkat, terbanjir pula,” kata beliau turut berharap kualiti pengurusan operasi sekolah-sekolah luar bandar ditingkatkan KPM serta agar jurang perbezaan kualiti dapat diminimumkan.
Ahli Parlimen Kuala Kedah itu memberi contoh kemudahan jaringan jalur lebar atau internet kerana pencapaian kecemerlangan pelajar juga bergantung kepada kemudahan prasarana moden tersebut.
Dr Ahmad turut mencadangkan agar KPM mengimbangi keperluan guru-guru yang berkemahiran serta berpengalaman terutama di sekolah-sekolah pinggiran dan luar bandar.
Pendekatan itu ujarnya, supaya para pelajar luar bandar mendapat pengajaran yang sejajar di pelajar di bandar.
“KPM juga hendaklah menyedia serta memantau program-program kecemerlangan pelajar supaya anak-anak pelajar ini terdedah dengan peluang-peluang pengajian serta bermotivasi untuk menduduki peperiksaan, seterusnya berjaya dengan cemerlang.
“Perkara-perkara yang saya dibangkitkan ini sebenarnya terkait antara satu sama lain, termasuklah produk 10A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya dikongsi oleh semua anak-anak yang akan menduduki SPM,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 15/7/2024











