
ALOR SETAR: Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sedang mendedahkan kudis yang banyak terdapat pada dirinya di sebalik keghairahan pemimpin itu cuba menunjukkan kudis orang lain.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi ibarat itu sebagai reaksi balas kepada Zahid yang menegaskan tiada jalinan muafakat antara partinya dengan PAS selagi Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memegang jawatan presiden.
“Tidak perlu tunjuk kudis orang, kalau diri sendiri pun banyak kudis. Dia (Zahid) sebenarnya berdendam dengan PAS kerana tuntutannya sebelum ini tidak dipersetujui.
“PAS juga mempunyai pendirian tegas dalam isu-isu tertentu. Nak tau (tahu) kenapa PAS tak dapat penuhi tuntutan dia, sila rujuk rakaman ucapan Tuan Guru Abdul Hadi dalam TikTok,” ujarnya.
Zahid terdahulu berkata, tidak akan ada kerjasama antara Umno dan PAS selagi parti itu diketuai Tuan Guru Abdul Hadi di mana Presiden PAS itu dakwanya, tidak konsisten dengan keputusan yang sudah dipersetujui dalam perbincangan secara bersemuka.
Berikutan itu kata Sanusi, PAS juga tidak mahu menjalin kerjasama bersama Umno selagi Zahid mengepalai parti tersebut, malah Zahid sendiri bidasnya, menggunakan Umno untuk kepentingan diri sendiri dan bukannya untuk kebaikan ahli-ahli.
“Semua orang pernah dengar sumpah Zahid. ‘No Anwar, No DAP’, tetapi dia pergi juga kepada mereka. Boleh pakaikah orang seperti ini.
“Tidak mustahil perkara itu antara punca semakin ramai menolak Pakatan Harapan (PH) dan Umno, termasuk dalam PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai lalu,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 11/7/2024











