
KUALA LUMPUR: Satu intervensi yang lebih efektif bagi memastikan golongan warga emas terhindar daripada terlibat dalam aktiviti jenayah penipuan atau keldai akaun perlu dibuat oleh kerajaan.
Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, tidak sepatutnyalah warga emas ini terlibat dengan jenayah ini dan perlunya pendekatan yang lebih membumi serta bersifat turun ke lapangan yang dilakukan oleh kerajaan bagi menangani isu-isu sebegini.
“Saya bimbang dengan peningkatan kes-kes jenayah penipuan ini khususnya kepada warga emas yang mudah terpengaruh dengan tawaran-tawaran yang sekadar indah khabar dari rupa.
“Hubung kait yang erat golongan warga emas dengan jenayah penipuan ini ibaratnya tidak pernah berakhir. Tidak ada noktah di situ, malah semakin membimbangkan dari masa ke semasa,” ujar beliau semasa membahaskan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam pada itu menurutnya, jika dilihat bahawa warga emas juga antara yang terlibat dalam sindiket akaun keldai dan menjadi hamba penipuan sama ada menjadi mangsa penipuan ataupun terlibat sendiri dalam memberikan akaun untuk dijadikan sebagai tempat cuci duit bagi setengah-setengah syarikat perjudian dan penipuan atau keldai akaun.
Selain itu katanya, kementerian yang terlibat perlu menyediakan suatu latihan khusus bagi memastikan pegawai polis yang terlibat mempunyai suatu kepakaran yang lebih terkehadapan dalam menangani jenayah komersial atas talian yang semakin rencam ini.
“Kita sering kali mendengar perkembangan strategi licik penipu untuk menipu orang ramai dan setiap kali itu jugalah ramai yang terpengaruh dengan mereka.
“Oleh itu latihan dan pendedahan yang berterusan ini seharusnya membantu meningkatkan kecekapan para pegawai yang terlibat menyelesaikan kes-kes penipuan yang berlaku,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 11/7/2024











