Mahkamah Syariah perlu diiktiraf kuasa kehakiman

Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pakar perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendedahkan banyak kajian dibuat sarjana berkaitan pengharmonian perundangan Islam di negara ini.

- Advertisement -

Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, kajian tersebut dilaksanakan sejak lebih 15 tahun lepas, dilakukan para pensyarah. 

Katanya, tugas ahli akademik sekadar membuat kajian dan menyerah hasil kajian pejabat Peguam Negara untuk diteliti.

Menurutnya juga beliau masih ingat bekas Menteri Agama sebelum ini Datuk Idris Ahmad pernah menyebut kajian berkaitan hukuman diyat dibuat sebelum ia dapat dilaksanakan.

“Diyat penting dilaksanakan sebagai pampasan kepada keluarga mangsa. Contohnya mangsa kemalangan jalan raya mendapat pampasan setimpal,” katanya ketika membentang kertas kerja pada Persidangan Antarabangsa 2024 Membangun Bersama Islam (MBI) di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurutnya cadangan itu sesuai dilaksanakan, namun selepas kerajaan bertukar usaha terbabit tidak kedengaran lagi.

Pada 6 September 2022 media melaporkan Idris berkata, perbincangan lanjut dijalankan sebelum hukuman diyat iaitu pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan terhadap tindakan penjenayah.

Menurutnya pembentangan terakhir diadakan membabitkan pakar perundangan dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum hukuman diyat dilaksanakan.

Dr Shamrahayu berkata, banyak kajian dibuat sarjana, namun selepas kerajaan bertukar tinggal kajian sahaja.

Menurutnya juga Kerajaan Persekutuan tidak boleh membuat undang-undang berkaitan hukum syarak kerana ia hak negeri.

Begitu juga kerajaan Pusat tidak boleh melaksanakan perjanjian di peringkat antarabangsa apabila berkaitan dengan hukum syarak.

“Contohnya isu ICERD. Dalam keadaan darurat hukum syarak berada di atas perlembagaan. Di masa darurat pun tidak boleh bercanggah dengan hukum syarak kerana ia bidang kuasa negeri,” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan Mahkamah Syariah seumpama tribunal kerana tidak diberi kuasa penuh. Sedangkan ia sebahagian daripada judicial power.

“Jadi perlu penambaikan dibuat, sekarang kita tidak beri secara nyata judicial power.

“Persoalannya siapa yang boleh bagi judicial power, jadi kena pinda perlembagaan persekutuan untuk memberi kuasa. Mahkamah Syariah mesti diiktiraf sebagai kuasa kehakiman,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -