PRU16: Optimis ‘PAS Teraju Pahang’ dapat direalisasi

- Advertisement -

ROMPIN: Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Nazri Ahmad optimis jentera parti sedang bersedia untuk bekerja dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang bagi merealisasikan tema ‘PAS Teraju Pahang’.

- Advertisement -

“Kita sedang berusaha memahamkan kepimpinan akar umbi terhadap elemen tarbiah, dakwah dan siasah, seterusnya memenuhi hasrat pimpinan agar PAS Teraju Pahang direalisasikan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (AND) Bukit Ibam berkata demikian pada program Taklimat Khas Kepimpinan 2024 di Muadzam Shah, semalam.

Menurutnya, gerak kerja pilihan raya telah digerakkan di semua DUN dalam usaha untuk menumbangkan Umno dan DAP di negeri ini.

“Gerak kerja pilihan raya ini kita telah gerakkan di semua DUN, tidak kira sama ada kita bertanding atau tidak, kerana fokus kita untuk menumbangkan UMDAP (Umno-DAP),” ujarnya.

Program yang dihadiri kira-kira 150 petugas utama parti di peringkat cawangan seluruh kawasan Rompin itu diadakan sebagai usaha memperkasa jentera di peringkat akar umbi.

Setiausaha PAS kawasan, Rozali Awang Muda menjelaskan program itu merupakan satu momentum bagi memantapkan organisasi parti di semua peringkat.

Dengan pemerkasaan jentera itu untuk menjadikan parti sebagai wadah alternatif orang Melayu Islam di negeri dan negara ini, seterusnya mencapai kemenangan dalam PRU16 nanti. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -