PN raih majoriti lebih besar di DUN Sungai Bakap

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail mengakui gerak kerja di lapangan selama dua minggu kempen PRK N.20 DUN Sungai Bakap telah mendengar secara langsung banyak rintihan rakyat terutama berkait isu harga barang dan ekonomi.

- Advertisement -


Menurut beliau, masalah bekalan air di Mukim Lima akan menjadi isu terdekat dan paling diberi perhatian olehnya untuk dibawa ke perbincangan kepada agensi berkaitan dalam memulakan tanggungjawab dan peranan telah dimandatkan kepadanya.

Beliau menyatakan perkara tersebut sebagai menjawab pertanyaan-pertanyaan para pengamal media selepas diisytiharkan memenangi kerusi itu di Dewan Serbaguna Jawi, Seberang Perai Selatan, di sini malam tadi.

Mesra dipanggil sebagai ‘Abang Abidin’, beliau mengungkap tekad untuk terus bekerja keras dalam menangani isu-isu yang dihadapi oleh penduduk dan berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Kemenangan Abidin itu diumumkam oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK N.20 DUN Sungai Bakap, Khairulnizam Hashim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di dewan itu kira-kira jam 9:30 malam.

Abang Abidin meraih majoriti 4,267 setelah memperolehi undi sebanyak 14,489 yang sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin di mana mendapat 10,222 undi.

Dengan 63.45 peratus jumlah keluar undi iaitu lebih kecil berbanding semasa PRN15 pada Ogos tahun lalu, majoriti diraih PERIKATAN NASIONAL (PN) telah meningkat hampir tiga kali ganda kali ini.

Beliau dalam ucapan sulungnya merakamkan penghargaan kepada semua Jentera PN di seluruh negara dan kepimpinan PN kerana memberi kepercayaan kepada beliau hingga mencapai kemenangan lebih besar itu.

PRK N.20 DUN Sungai Bakap diadakan semula susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff (PN) pada 24 Mei lalu, setelah memenangi kerusi itu lepas menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -