Isyarat jelas rakyat tolak Kerajaan PH – Ustaz Idris

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) dengan majoriti lebih besar pada PRK N.20 DUN Sungai Bakap adalah bukti jelas bahawa rakyat menolak Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

- Advertisement -



Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, pada mulanya simulasi dilakukan pihak PN memberi jangkaan kemungkinan menang dengan majoriti antara 2,000 hingga 2,400 undi sahaja.

Namun katanya, keputusan akhir menang dengan majoriti 4,267 undi adalah satu keputusan mengejutkan dan mencerminkan memorandum rakyat yang jelas kepada kepimpinan Perdana Menteri di Putrajaya dan juga Kerajaan DAP di Pulau Pinang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata demikian kepada media selepas pengisytiharan kemenangan calon PN, Abidin Ismail dalam PRK N.20 DUN Sungai Bakap di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi, di sini malam tadi.

“Apa yang paling menarik adalah kawasan Parlimen Nibong Tebal ini diwakili seorang Menteri iaitu Menteri Pendidikan dan saya difahamkan juga terdapat dua Exco (Kerajaan Negeri) iaitu ADUN Jawi dan ADUN Sungai Acheh.

“Tiba-tiba rakyat memilih calon yang kami anggap sebagai insan yang kerdil. Kami ini dalam pertarungan ini kerdil. Tengok Bilik Gerakan (PN) pun menyedihkan. Namun dengan dua S, iaitu semangat dan ‘smart’ kami berjaya.

“Kami dengan jati diri yang ada pada kami, maka kami mampu untuk menghasilkan kemenangan dan kita dapat tengok, rakyat telah memilih Abang Abidin dalam pilihan raya kali ini,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, PN turun ke gelanggang PRK itu sebagai parti politik tetapi terpaksa berdepan lawan yang memperalatkan jentera kerajaan, di mana jika PH berlawan sebagai parti, mungkin kalah lebih teruk.

“Seluruh kekuatan yang ada daripada peringkat nasional hinggalah peringkat negeri digunakan untuk apa mengalahkan calon daripada PN. Tetapi perlu diingat bahawasanya rakyat pada hari ini, politik dia bukan politik zaman televisyen hitam putih.

“Zaman hari ini ialah zaman langit terbuka. Politik ugut, politik rasuah, projek, nak janji macam-macam, itu politik zaman Pak Nadok dulu. Maknanya pemimpin walaupun nama Madani tetapi pemikiran mereka itu Badwi.

“Yang mempunyai pemikiran yang sesuai dengan zaman yang kita anggap sebagai zaman langit terbuka pada hari ini. Yang sepatutnya politik kita secara matang, bukan politik tuduhan secara semberono sepertimana yang disebutkan.

“Juga diuar-uarkan kononnya tidak ada kerjasama dari kalangan parti komponen PERIKATAN NASIONAL. Itu orang boleh (ramai) boleh tengok bagaimana semua jentera-jentera kami daripada BERSATU, GERAKAN, MIPP, NGO, NGI berkolaborasi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -