
SEPANG: Syarikat pengendali pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) telah menghantar kumpulan pertama jemaah umrah bagi musim 1446 Hijrah ke Tanah Suci Makkah pada hari ini, dengan penerbangan Saudia Airlines (Saudia).
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, ini merupakan pertama kali dalam sejarah menyaksikan Saudia Airlines bersetuju untuk memberikan 70,000 tiket penerbangannya kepada Andalusia Travel susulan Memorandum Persefahaman (MoU) pada April tahun ini.
“Jadi, pada hari ini bukan sahaja kita menghantar kumpulan jemaah umrah yang pertama pada 1446 Hijrah tetapi mereka juga dapat menikmati penerbangan yang sangat berkualiti dengan Saudia Airlines,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Keberangkataan Jemaah Umrah Kumpulan Pertama Umrah Andalusia Musim 1446H dengan Saudia Airlines, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin dan Pengurus Penjualan Saudia Airlines Malaysia, Azman Ahmad.
Menurut beliau, Saudia Airlines tidak dinafikan merupakan antara satu penerbangan bertaraf tinggi yang menyediakan tempat duduk yang selesa untuk penumpangnya.
“Saudia telah disenaraikan pada tangga ke 20 antara Syarikat penerbangan terbaik dunia dan Katering terbaik untuk kelas Ekonomi di Dunia untuk tahun 2023 oleh Skytrax,” katanya.
Tambah beliau, syarikat penerbangan tersebut benar-benar memastikan bahawa setiap penumpangnya akan diberi layanan yang sangat baik.

“Malah, ada di antara mereka juga boleh berbicara dalam bahasa Melayu dan ini sudah tentu menggembira jemaah-jemaah kita kerana mudah untuk berkomunikasi dengan baik.
“Mereka pun suka dengan jemaah umrah dari Malaysia kerana bersifat sopan santun. Makanan yang disediakan Saudi Airlines pun saya boleh katakan sangat sedap.
“Lagipun Saudia Airlines bukan sahaja mempunyai antara rekod terbaik dalam anugerah Skytrax tetapi juga satu-satunya penerbangan yang menyediakan perkhidmatan surau dalam kapal terbangnya,” ujarnya.
Md Daud menyatakan seramai 27 jemaah yang akan terbang ke Makkah bagi menunaikan umrah pada hari ini sememangnya beruntung kerana dijangka tidak berapa sesak dalam melakukan umrah, memandangkan kesibukan musim haji baru sahaja selesai.
Beliau menyatakan, akan terus memantau perkembangan umrah dari semasa ke semasa serta memastikan jemaahnya bukan sahaja diberikan layanan yang berkualiti tetapi juga dilindungi ketika menunaikan umrah serta mendapat jaminan keselesaan di bawah pengurusan penerbangan Saudia Airlines.
“Apa pun Andalusia Travel akan teruskan kerjasama dengan Saudia Airlines sebagai satu daripada langkah tersebut dan kita sama-sama mendoakan semoga jemaah umrah pada hari ini bukan sahaja pergi menunaikan umrah selamat tetapi juga ibadah mereka diterima Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, Azman menyatakan pihaknya telah berbesar hati kerana dapat menyediakan sebanyak 70,000 tiket penerbangan Saudia Airlines kepada pihak Andalusia Travel dalam MoU pada bulan April lepas.
Kata beliau, Andalusia Travel merupakan pihak yang sangat dipercayai dan sentiasa menyediakan perkhidmatan berkualiti buat jemaahnya.
“Jadi, kami tidak keberatan untuk memberikan 70,000 tiket penerbangan Saudia Airlines kepada jemaah Andalusia Travel dalam MoU yang lalu, dan memandangkan hari ini merupakan jemaah pertama Andalusia pada 1446 Hijrah, maka kami akan pastikan mereka diberi perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
“Malah, sekalipun jemaah ini berada dalam kelas ekonomi tetapi saya berani jamin bukan sekadar memberi layanan yang berkualiti sahaja diberikan, tetapi juga makanan yang sedap,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2024
Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!













